'Persaraan bukan waktu rehat'

Iklan
Wan Noriah (tengah) menerima anugerah yang disampaikan oleh Mohd Shahrim (dua dari kanan).

KOTA BHARU - Tempoh persaraan lebih awal dimanfaatkan oleh seorang ibu bagi menjaga anak istimewa dan berbakti kepada komuniti sindrom down untuk meningkatkan kemahiran diri.

Bekas Penolong Pegawai Tadbir Universiti Sains Malaysia (USM), Wan Noriah Wan Ramli, 69, yang bersara awal pada 2010 itu bahkan turut menjadikan chalet yang dibinanya selepas bersara sebagai pusat komuniti golongan tersebut.

Iklan
Iklan

Wan Noriah berkata, chalet Min House Camp seluas 0.4 hektar yang terletak di Kubang Kerian dibina menggunakan wang saguhati pencen dia dan suami berjumlah RM350,000 sebelum membuka pusat komuniti tersebut enam tahun kemudian.

Wan Noriah pada awalnya hanya mahu menyediakan ruang lebih selesa untuk anaknya yang juga OKU sindrom down, Abdul Muhaimin Mohd Zalimi, 31, dan kemudian diperluas dengan kini mempunyai 180 OKU berdaftar berusia tiga bulan hingga lebih 30 tahun.

Iklan

“Sebelum ini, sukar sebab perlu berulang kali ke Selangor untuk menghadiri program berkait OKU sindrom down.

“Dari situlah saya mula terfikir untuk buka ruang kepada anak istimewa ini di chalet saya,” katanya kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai pemenang Utama Anugerah My Pesara 2025 wang membawa pulang wang tunai RM50,000 dan kategori sosial dan khidmat masyarakat (RM10,000).

Iklan

Anugerah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Shahrim Hussin sempena Karnival My Persara di pekarangan sebuah pasar raya di Tunjong di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Nik Amlizan Mohamed.

Wan Noriah yang juga Pengerusi Persatuan Sindrom Down negeri Kelantan berkata, chalet mesra OKU itu menawarkan kemudahan asas seperti surau, dewan mesyuarat, kawasan pertanian, aktiviti air dan ruang pembelajaran yang direka agar sesuai dengan keperluan mereka.

“Pelbagai aktiviti yang ada termasuk pertanian organik, akuaponik, pengurusan diri, penyediaan makanan, eksplorasi alam dan latihan keyakinan diri.

“Orang kata apabila bersara kena rehat, tapi saya fikir lain, selagi sihat, ada kudrat, saya mahu guna masa ini untuk terus memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrim berkata, Anugerah My Pesara mengetengahkan peranan pesara yang terus menyumbang kepada masyarakat selepas tamat perkhidmatan.

Beliau berkata, jasa dan pengalaman golongan berkenaan tidak seharusnya terhenti hanya kerana mereka bersara daripada sektor awam.

“Inisiatif KWAP menerusi program My Pesara seiring dengan usaha kerajaan dalam memastikan pesara kekal aktif, dihargai dan mendapat akses kepada perkhidmatan yang lebih efisien,” katanya.