LANGKAWI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi bot migran yang karam berhampiran sempadan maritim Malaysia-Thailand memasuki hari ketujuh dengan penemuan satu lagi mayat pada Sabtu.
Penemuan tersebut menjadikan jumlah korban di perairan Malaysia meningkat kepada 29 orang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki yang terdampar di Pulau Singa Besar pada pagi Sabtu.
“Susulan laporan itu, sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat telah digerakkan ke lokasi bagi mengambil mayat berkenaan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, operasi SAR akan diteruskan sehingga keseluruhan zon pencarian diliputi sepenuhnya meskipun berdepan cabaran cuaca dan laut bergelora.
“Kami mengutamakan keselamatan anggota yang bertugas, namun usaha mencari mangsa tidak akan dikompromi,” tegasnya.
Kawasan pencarian pada Sabtu meliputi 33.86 batu nautika persegi melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), manakala beberapa agensi lain berada dalam keadaan bersiap sedia.
Cuaca dilaporkan tidak menentu dengan angin berkelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam serta ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter, selain ribut petir di beberapa sektor pencarian.
Sejak hari pertama operasi, pasukan SAR telah meliputi kawasan seluas 1,355.13 batu nautika persegi melibatkan enam agensi utama termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perikanan.
Setakat ini, seramai 14 mangsa yang terselamat telah ditemui di perairan Malaysia dan masih berada dalam tahanan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.