JAKARTA – Indonesia mengesahkan telah melatih sehingga 20,000 anggota tentera sebagai persediaan awal untuk menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, namun penugasan hanya akan dibuat selepas mendapat mandat rasmi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin berkata, anggota yang dipersiapkan itu akan memberi tumpuan kepada khidmat kesihatan dan kerja-kerja pembinaan semula di wilayah yang musnah akibat perang.
“Kami sudah menyediakan maksimum 20,000 anggota. Spesifikasinya akan berkisar kepada kesihatan dan pembinaan. Kami menunggu keputusan selanjutnya,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Indonesia merupakan antara negara yang berunding dengan Amerika Syarikat berhubung rancangan pembentukan ISF, bersama Azerbaijan, Mesir dan Qatar.
Draf awal yang dilihat Reuters menyatakan bahawa pasukan itu akan diberi kuasa untuk menyahmilitarisasi Gaza, mengawal sempadan, melindungi orang awam, memperkasa penyampaian bantuan, serta membantu pasukan polis Palestin yang baru dilatih.
Namun begitu, Jakarta menekankan bahawa tiada keputusan penempatan dibuat setakat ini, menandakan bahawa proses pembentukan kehadiran antarabangsa di Gaza masih belum dimuktamadkan.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dijangka berbincang mengenai cadangan tersebut dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II, yang memulakan lawatan negara pada Jumaat.
“Kami menunggu peluang peranan yang boleh dimainkan oleh Indonesia dalam usaha damai,” kata Sjafrie.
Prabowo sebelum ini turut menarik perhatian global apabila dalam ucapannya di pentas Perhimpunan Agung PBB pada September, beliau menegaskan kesediaan Indonesia untuk menghantar 20,000 anggota sekiranya mandat PBB diberikan, dan menutup ucapannya dengan ucapan 'shalom'.