Rusia lancar misil Oreshnik ke atas Ukraine

Iklan
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas serangan berskala besar dilancarkan Rusia di kawasan penempatan yang turut meragut empat nyawa di Kiev. - Foto AFP

KIEV - Rusia melancarkan misil Oreshnik ke atas Ukraine pada awal pagi Jumaat selepas ia menolak pelan pemeliharaan keamanan pasca perang.

Kementerian Pertahanan di Moscow mengesahkan peluru berpandu hipersonik digunakan ke atas beberapa sasaran strategik sebagai respons terhadap serangan dron yang menyasarkan kediaman Presiden Vladimir Putin pada bulan lalu.

Iklan
Iklan

Kremlin tidak memberikan butiran terperinci tentang operasi tersebut yang didakwa musuh menggunakan 36 misil dan 242 dron.

Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan kemudahan infrastruktur berhampiran bandar barat Lviv dibedil misil yang bergerak pada kelajuan hipersonik kira-kira 13,000 kilometer sejam.

Iklan

Pentadbiran tentera wilayah mengesahkan tahap radiasi berada pada paras normal.

Rusia pertama kali menggunakan Oreshnik dengan kepala peledak konvensional untuk membedil bandar Dnipro, tengah Ukraine pada akhir 2024.

Iklan

Di seluruh wilayah sempadan Belgorod, Rusia pula, lebih 500,000 penduduk dilaporkan terputus bekalan elektrik dan sistem pemanas selepas Ukraine menyerang kemudahan utiliti.

Sejak beberapa bulan lalu, Kiev bersama sekutu Barat mereka mempergiatkan usaha untuk menghentikan perang bersama Moscow yang memasuki tahun keempat.

Eropah turut bersetuju untuk mengerahkan pasukan tentera jika kedua-dua seteru bekas negara Kesatuan Soviet itu mencapai perjanjian gencatan senjata.

"Langkah provokasi dengan menempatkan pasukan tentera akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan yang sah," ujar jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova pada Khamis yang turut melabel kesepakatan tersebut sebagai 'paksi perang'.

Serangan terbaharu Rusia dilancarkan selepas Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kiev memberi amaran tentang potensi serangan udara berskala besar yang boleh berlaku pada bila-bila masa. - AFP