[VIDEO] Pejuang kanser temui jodoh pada usia senja

Iklan

MELAKA - Seorang pesakit kanser tidak menyangka akan bertemu jodoh semula pada usia senja selepas sepuluh tahun hidup sendiri apabila menerima lamaran jiran sebelah rumah yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

Mahriah Abd Majid, 59, yang sedang menjalani kemoterapi kanser payudara tahap dua itu bersetuju menerima lamaran pasangannya, Leman Jantan, 62, yang sudi menjaganya dalam keadaan dirinya sedang berdepan masalah kesihatan.

Iklan
Iklan

Beliau yang kematian suami pada tahun 2015 dan tidak mempunyai anak itu berkata, sikap prihatin Leman yang banyak membantu urusan pergi dan balik hospital amat dihargai, lebih-lebih lagi ketika hidup sendirian dan telah menetap di Melaka sejak 15 tahun lalu.

“Alhamdulillah ada yang jaga saya. Memang rasa gementar untuk terima lamaran suami, tetapi selepas berfikir secara mendalam akhirnya saya terima.

Iklan

Leman dan Mahriah bersanding atas pelamin selepas sah menjadi suami isteri.

“Saya pun duduk seorang diri. Kalau ada teman, boleh saling membantu susah dan senang bersama,” katanya ketika ditemui pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Cina Krubong di sini pada Jumaat.

Iklan

Majlis penuh bermakna yang diadakan selepas solat Asar itu dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Kumpulan Sokongan Kanser Power of Love  dan turut dihadiri Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Melaka, Nazrah Bidin.

Pasangan mempelai yang segak mengenakan busana pengantin berwarna merah hati tersebut diraikan dalam suasana sederhana, namun meriah sambil disaksikan kenalan dan saudara-mara yang hadir meraikan hari bahagia mereka.

Sementara itu, Leman berkata, hasrat menjadikan Mahriah sebagai suri hatinya telah dipendam sejak setahun lalu dan pernah merujuk kepada pejabat agama, namun berdepan kesukaran untuk menguruskan proses pendaftaran perkahwinan.

Proses ijab kabul.

“Saya hanya kerja kampung dan tidak pandai membaca, jadi kurang faham cara mengisi borang secara atas talian serta proses lain yang diperlukan, menyebabkan urusan itu tertangguh.

“Sehinggalah ada NGO tampil membantu pada Oktober lalu. Alhamdulillah, hasrat mendirikan rumah tangga dapat diteruskan dan dipermudahkan.

“Saya sendiri tidak menyangka dapat pakai baju pengantin dan bersanding seperti hari ini. Ramai yang hadir meraikan hari bahagia kami. Saya sangat bersyukur,” katanya.

Beliau berkata, hatinya tergerak untuk memperisterikan Mahriah atas niat membantu wanita itu yang hidup sebatang kara.

“Saya kenal dia hampir tiga tahun. Kami suka sama suka dan ALLAH SWT tetapkan jodoh kami. Ini semua kehendak ALLAH SWT, syukur alhamdulillah.

“Kami berjiran di Bukit Cina. Saya mulanya bantu dia carikan kerja, kemudian bila dia tiada tempat tinggal saya bantu carikan bilik sewa.

“Mulanya sekadar kenal-kenal, tetapi lama-kelamaan ALLAH SWT gerakkan hati kami untuk menjadi semakin rapat dan akhirnya menjadi pasangan hidup,” katanya.

Mahriah bersalam tangan suaminya semasa upacara menyarung cincin dijalankan.

Leman yang kematian isteri dan mempunyai dua anak turut menjelaskan bahawa anak-anaknya merestui perkahwinan itu dan tidak menghalang beliau untuk berkahwin lagi.

Dalam pada itu, Nazrah berkata, pihak hospital mengikuti perkembangan Mahriah sebagai salah pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan dan ada membuat lawatan ke rumahnya.

“Ketika lawatan, kami dapati dia banyak dibantu oleh jiran iaitu pak cik Leman. Selepas melakukan soal siasat, kami dapati mereka sebenarnya tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri.

“Kami juga dimaklumkan mereka berdepan kesukaran menguruskan pendaftaran perkahwinan kerana proses kini banyak dijalankan secara dalam talian, sedangkan mereka kurang faham dan tiada siapa membantu pada waktu itu,” katanya.

Pihaknya kemudian bertindak membantu memudahkan urusan tersebut dengan menghubungi waris terdekat Mahriah.

“Kami berjaya menghubungi dua adiknya, masing-masing berada di Pahang dan Pulau Pinang, sebelum meneruskan proses seterusnya sehingga pasangan ini dapat dinikahkan dengan sempurna,” katanya.