'Jika projek selamat, kenapa tak bina di kawasan pihak berkuasa sendiri?'

Iklan
Abdul Hanan (duduk tengah) bersama wakil-wakil penduduk memegang risalah perhimpunan aman yang dijadualkan pada Isnin depan.

RAWANG – Lebih 12,000 borang bantahan telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menolak cadangan projek insinerator Batu Arang, namun sehingga kini rakyat masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa.

Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) bersama Hand-in-Hand Batu Arang menegaskan, projek itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan alam sekitar dan masa depan penduduk setempat.

Iklan
Iklan

Jurucakap JRTI, Abdul Hanan Abd Mokti berkata, perjuangan menentang projek itu sudah berlangsung lebih dua tahun merangkumi bantahan terhadap penukaran status tanah, pindaan Pelan Struktur Negeri, sesi pendengaran awam dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Data dan rekod jelas menunjukkan rakyat menolak projek ini secara penuh, tetapi pihak berkuasa masih enggan mengakui realiti ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut Abdul Hanan, pelbagai aktiviti bantahan telah dianjurkan sebelum ini termasuk larian bantahan di Bandar Tasik Puteri, bantahan semasa perasmian jalan Bestari Jaya–Rawang di Taman Velox dan bantahan semasa majlis pecah tanah insinerator di Jeram.

Beliau menegaskan, isu itu bukanlah bersifat Not In My Backyard (NIMBY), sebaliknya ia merupakan hak asas rakyat untuk mempertahankan keselamatan rumah, anak-anak dan masa depan.

Iklan

"Jika projek ini selamat, kenapa tidak bina di kawasan pihak berkuasa sendiri di Shah Alam?,” soal beliau.

Selain itu, Abdul Hanan menekankan isu itu melangkaui sempadan lokaliti.

"Jika projek seperti ini boleh diluluskan tanpa mandat rakyat di Batu Arang, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja di Malaysia.

"Batu Arang kini menjadi ujian ketelusan dan integriti dasar negara," tambah beliau.

JRTI turut memaklumkan, satu perhimpunan aman akan diadakan di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin depan bermula jam 8 hingga 11 pagi

"Perhimpunan telah diterima oleh pihak polis dan sah dari segi undang-undang, selain kami komited untuk memastikan ia berlangsung secara aman, teratur serta mematuhi perundangan.

"Selain berhimpun, memorandum bantahan akan dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan terlibat secara langsung dalam radius projek insinerator ini," katanya.