KLANG - Asisten Komisioner (ACP) Lim Jit Huey dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkuat kuasa Jumaat.
Pelantikan bekas Timbalan Ketua Urus Setia (Teknologi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman itu bagi menggantikan ACP Ramli Kasa yang bersara wajib selepas hampir 11 bulan menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Majlis serah terima tugas itu berlangsung di IPD Klang Selatan di sini dengan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Dalam ucapannya, Shazeli merakamkan penghargaan kepada Ramli atas kepimpinan dan sumbangannya dalam memastikan keselamatan serta keharmonian daerah ini sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
"Jasa dan pengorbanan beliau akan dikenang sebagai sejarah pasukan kita (polis).
"Hari ini amanah diteruskan oleh ACP Jit Huey. Sesungguhnya jawatan bukan sekadar pangkat dan kedudukan, tapi satu amanah," katanya.
Beliau turut mengingatkan warga IPD Klang Selatan bahawa mereka adalah benteng keselamatan untuk masyarakat.
"Kita bukan sekadar melaksanakan undang-undang, tapi membawa harapan kuat kepada masyarakat untuk hidup dalam aman dan tenteram. Setiap keputusan kita ialah cerminan kepada asas kepercayaan masyarakat," ujarnya.
Jelasnya, integriti ialah roh kepimpinan, tanpa integriti kepimpinan akan goyah, tanpa tanggungjawab, amanah akan hilang.
Sementara itu, Jit Huey berkata, beliau akan membuat pemerhatian awal sebelum melaksanakan sebarang transformasi, termasuk memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) selaras dengan aspirasi kepimpinan tertinggi pasukan.
"Mungkin dengan latar belakang dari Jabatan Logistik sebelum ini, saya harap boleh mengaplikasikan sedikit sebanyak cadangan-cadangan teknologi baharu bagi memudahkan urusan kerja.
"Saya percaya dengan khidmat profesional dan kualiti warga polis dapat menangani persepsi masyarakat dalam bersama menangani jenayah," ujarnya.