Fosil 55 juta tahun singkap rahsia kewujudan buaya pemanjat di Australia

Iklan
Ilustrasi AI buaya itu.-Agensi

QUEENSLAND – Saintis Australia kembali mencuri perhatian dunia apabila menemui cangkerang telur buaya berusia 55 juta tahun yang dipercayai milik spesies purba digelar 'drop crocs' iaitu buaya Mekosuchine yang mampu memanjat pokok dan menyerang mangsa dari atas.

Penemuan penting itu dibuat di halaman belakang rumah seorang penternak biri-biri di Murgon, sebelum dianalisis dan diterbitkan dalam Journal of Vertebrate Paleontology baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Kajian mengesahkan telur tersebut berasal daripada Mekosuchine iaitu buaya darat yang hidup ketika Australia masih bersambung dengan Antartika dan Amerika Selatan.

Menurut Pakar Paleontologi, Profesor Michael Archer dari University of New South Wales, teori buaya memanjat pokok mungkin kedengaran ganjil, namun bukti fosil menunjukkan beberapa spesies Mekosuchine berburu seperti harimau bintang, menunggu di dahan sebelum menerkam mangsa.

Iklan

Spesies ini dipercayai mampu membesar sehingga lima meter dan hidup berjuta-juta tahun sebelum kemunculan buaya moden di kawasan itu.

Penemuan terdahulu membabitkan fosil Mekosuchine berusia 25 juta tahun turut menunjukkan ciri separa hidup di pokok, sekali gus mengukuhkan kewujudan buaya pemanjat dalam sejarah evolusi Australia.

Iklan

Tapak fosil Murgon yang digali sejak awal 1980-an, kini diiktiraf sebagai antara lokasi Paleontologi tertua di negara itu.

Kawasan tersebut pernah direkodkan beberapa penemuan besar termasuk burung 'penyanyi' tertua dunia, spesies katak dan ular awal Australia, kelawar purba serta mamalia kecil yang mempunyai kaitan dengan fauna Amerika Selatan.

Profesor Archer turut berkongsi bagaimana projek penyelidikan itu bermula pada 1983, hanya dengan mengetuk pintu pemilik ladang dan meminta izin untuk menggali ladang ternakan mereka.

Sejak itu, lebih empat dekad kerja pemuliharaan berjaya membuka lembaran baharu tentang sejarah hidupan purba Australia, dengan para saintis yakin masih banyak spesies unik menanti untuk dijumpai. -Agensi