JOHOR BAHRU – “Saya mohon puan (hakim) ampunkan dosa saya, ini terakhir. Semua dah buang saya.”
Itu reaksi seorang penganggur di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun pada 8 November lalu.
Hishamudin Kumaran Abdullah, 54, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara menyentuh kemaluan mangsa sekitar jam 7.40 malam di sebuah surau di Pekan Nanas, Pontian.
Oleh yang demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Timbalan pendakwa raya turut membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk mempertimbangkannya.
Dalam hujahannya, beliau berkata, pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan yang menunjukkan keberadaan tertuduh dan mangsa di lokasi ketika kejadian berlaku.
“Pertuduhan ini membabitkan kanak-kanak dan ia adalah satu kesalahan yang serius dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
“Tertuduh juga bukan pesalah kali pertama dan mempunyai rekod lampau pelbagai kes jenayah sejak 1993 hingga 2008 termasuk dua kes di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan berkaitan cabul kehormatan dan gangguan seksual.
“Terdapat risiko tertuduh mengulangi kesalahan terhadap orang awam sekiranya dilepaskan dengan jaminan,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta membuat rayuan jaminan, tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata dia tidak mempunyai sesiapa dan hidup dalam kesusahan.
“Semua dah buang saya. Saya duduk di surau atau masjid, saya pergi dakwah, saya sembahyang kuat. Saya tak ada kerja. Sekarang saya OKU, mata sebelah tak nampak, kaki pun cacat. Tak tahu mana nak duduk, sebab itu saya jadi macam ini,” katanya.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan dan menetapkan 16 Januari 2026 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada bapa mangsa.