PELABUHAN KLANG – Taktik licik sindiket dadah antarabangsa yang mengubah suai bahagian atas sebuah kontena dengan menyembunyikan methamphetamine bernilai RM1.44 juta telah dibongkar di Pelabuhan Barat di sini pada 7 November lalu.
Sindiket tersebut dipercayai membawa masuk dadah itu dari Timur Tengah dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum penghantaran ke pasaran Australia.
Kontena berkenaan diisytiharkan membawa 22 palet marmar kepingan (marble slab), namun risikan antarabangsa mengesyaki terdapat muatan tambahan yang cuba diseludup.
Hasil pemeriksaan menemukan bahagian tersembunyi dengan kesan kimpalan baharu, lengkap dengan ruang khas yang telah diubah suai pada bahagian atas kontena.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata operasi itu dilakukan hasil maklumat yang diterima melalui Task Force Tiger bersama Polis Persekutuan Australia (Australian Federal Police, AFP) yang mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kontena dari Timur Tengah yang transit di Pelabuhan Klang.
"Pemeriksaan pada ruangan yang diubah suai di bahagian atas kontena itu membawa kepada rampasan melibatkan 136 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki methamphetamine seberat 45 kilogram.
"Siasatan mendapati kontena ini dibawa terus dari Timur Tengah dan dikesan cuba digunakan untuk menyeludup kesemua dadah ini ke Australia," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Hussein berkata, rampasan dadah terbabit bernilai RM1.44 juta serta mampu merosakkan sekurang-kurangnya 225,000 pengguna.
"Ini merupakan cubaan menjadikan Malaysia sebagai transit. Dengan kerjasama antarabangsa, kita berjaya menyekat penghantaran dadah ke negara sasaran mereka.
"Kejayaan operasi ini merupakan kes kedua tahun ini yang menunjukkan modus operandi hampir sama, iaitu menggunakan Pelabuhan Klang sebagai transit penghantaran dadah.
"Taktik mereka sentiasa berubah. Dalam kes kali ini, ruang khusus diwujudkan dalam kontena untuk menyembunyikan dadah, dan kaedah ini berbeza daripada kes terdahulu," katanya.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati tiada syarikat tempatan terlibat dalam penghantaran tersebut kerana kontena berkenaan tidak dijadualkan keluar dari Pelabuhan Klang ke mana-mana lokasi dalam negara.
"Kontena ini hanya berhenti di Pelabuhan Klang untuk transit sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
"Ia tidak melalui sebarang pihak lain di Malaysia," katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Polis turut merakamkan penghargaan kepada Westports, pihak berkuasa pelabuhan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta rakan antarabangsa seperti AFP dan Unit Anti-Narkotik Polis Dubai yang membantu membongkar taktik sindiket tersebut.
"PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah serta sentiasa memerangi dadah demi memastikan negara ini tidak dijadikan transit penyeludupan," katanya.
Ujarnya, orang ramai diingatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.