TUMPAT – Dalam keadaan tubuh makin dimamah usia, seorang bapa tunggal berumur 75 tahun masih gagah mengangkat, memandikan dan menyuap anaknya yang terlantar akibat penyakit air dalam kepala sejak lahir.
Bekas buruh binaan itu, Che Idris Che Deraman memerah sisa tenaga bagi menjaga Amni Nazirah Che Idris, 21, yang terlantar sepenuhnya kerana penyakit hidrosefalus terbabit dan tidak mampu bercakap.
Menurutnya, anak bongsu daripada 10 beradik itu seberat 42 kilogram pernah menjalani dua pembedahan membuang cecair dalam kepala pada 2010 dan 2012 di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia namun keadaannya kekal bergantung penuh kepada penjaga.
Dia juga mengalami sawan setiap dua minggu dan perlu diberikan ubat antikejang secara teratur.
“Dia tidak boleh ditinggalkan walaupun sekejap, saya risau dia kekejangan.
“Dia perlu disuap makan nasi lembik atau roti, kalau mandi, saya akan angkat dia bawa ke bilik air, mandikan dan tukar lampin,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Teluk Renjuna di sini, pada Jumaat.
Kisah pengorbanan Che Idris tidak terhenti pada anak sahaja kerana sebelum ini dia menjaga isterinya, Saniah Taib yang terlantar hampir 15 tahun akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang.
Bagaimanapaun, wanita itu meninggal dunia pada 2013 apabila jangkitan kuman merebak ke kepala.
Katanya, sejak itu, tanggungjawab menjaga Amni Nazirah dipikul seorang diri.
“Selagi saya boleh, saya akan jaga dia dan tak nak susahkan orang lain.
“Dulu isteri sakit lama, apabila dia pergi, tinggallah saya menjaga Amni tapi ALLAH masih beri tenaga walaupun saya sudah tua,” katanya.
Che Idris sendiri menghidap darah tinggi dan perlu makan ubat tiga kali sehari selain berulang-alik ke klinik di Sungai Pinang dengan menaiki bot merentasi Sungai Kelantan.
Dia tinggal bersama dua anak lelaki, Che Mohd Asrul, 29, seorang buruh binaan, dan Che Mohd Izwan Shafiq, 26, bekerja mengangkut kelapa serta turut membantunya menjaga Amni Nazirah.
Sebagai penjaga, Che Idris menerima bantuan RM500 sebulan bagi pesakit terlantar anaknya itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Che Idris tidak sanggup membayangkan keadaan anaknya itu sekiranya dia tiada lagi nanti.
Baginya, masa depan Amni Nazirah sentiasa menjadi kerunsingan utama kerana gadis itu tidak mampu menguruskan diri.
“Kalau saya meninggal dunia, harap ALLAH dan adik-beradik dapat jaga Amni macam saya jaga dia.”
“Tapi saya harap panjang umur, kalau ALLAH nak jemput pun, biarlah ambil Amni dulu,” katanya.
Mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun berikut Maybank 103016014183 Che Idris Che Deraman.