KERUGIAN kewangan akibat rasuah dan ketirisan hasil negara adalah isu getir yang menjejaskan sistem dan hala tuju pentadbiran Malaysia.
Ia telah berlarutan sejak sekian lama sehingga menyebabkan negara kita kehilangan dana awam dalam jumlah yang amat banyak.
Dapatan kajian Emir Research pada tahun 2023 mendedahkan negara kerugian kira-kira RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun.
Jika dibahagikan sama rata, jumlahnya mencecah RM173 bilion setahun, hampir sama dengan wang diperuntukkan untuk Belanjawan 2008 iaitu RM176.9 bilion.
Jumlah tersebut jelas menunjukkan Malaysia berdepan masalah ketirisan yang kronik sehingga mengganggu pembangunan negara.
Bagaimanapun, pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini dilihat melegakan ramai apabila kerajaan di bawah pimpinannya berjaya memulihkan ketirisan sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun, kira-kira RM7.75 bilion setahun.
Katanya, kejayaan tersebut dicapai susulan penguatkuasaan tegas dan tindakan berani beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurutnya, usaha agensi berkenaan membanteras rasuah, ketirisan dan penyeludupan berjaya merampas wang tunai, harta, saham, tanah serta gedung yang diseleweng.
Dalam tempoh dua tahun beliau berkata, SPRM berjaya melucut hak bernilai RM8 bilion manakala PDRM menyita hampir RM4 bilion.
Sementara itu Anwar berkata, JKDM pula menumpaskan sindiket haram dan penyeludupan bernilai RM2.5 bilion.
KPDN dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia juga tidak ketinggalan memainkan peranan mengutip penalti berjumlah RM1 bilion.
Walaupun RM15.5 bilion itu tidak sebanyak jumlah ketirisan dalam tempoh 26 tahun yang dilaporkan namun ia berjaya menyelamatkan hasil negara daripada jatuh ke tangan ‘syaitan’ iaitu orang jahat dan pihak tidak bertanggungjawab.
Bantu kerajaan
Sekurang-kurangnya jumlah tersebut dapat membantu kerajaan menyelesaikan banyak isu berkaitan pendidikan, kesihatan, pertahanan dan kemiskinan yang sering disuarakan oleh banyak pihak.
Dengan wang sebanyak itu, kerajaan boleh melakukan baik pulih sebanyak 516 buah sekolah sekiranya satu unit memakan belanja RM30 juta.
Malah, dengan wang sebanyak itu juga kerajaan boleh membina 31 buah hospital pada harga RM500 juta seunit.
Paling penting, wang sebanyak RM15.5 bilion itu juga dapat menyelesaikan masalah kemiskinan di negara kita melibatkan 306,403 ketua isi rumah miskin.
Bagaimanapun, kegagalan dan kecuaian menjalankan tugas dalam mentadbir negara oleh sesetengah pemimpin dan pegawai agensi berkaitan menyebabkan negara rugi.
Jumlahnya mungkin akan berganda setiap tahun sekiranya tiada keberanian dan ketegasan pihak berkuasa atau pemimpin negara untuk menguatkuasakan undang-undang.
Namun wang yang hilang itu boleh dipulihkan dan mungkin jumlahnya lebih RM15.5 bilion sekiranya semua orang memainkan peranan.
Caranya mudah iaitu jauhi rasuah dan salah guna kuasa serta jangan sesekali bersekongkol dengan ‘syaitan’ yang asyik menjarah hasil mahsul negara.
Usaha tersebut mungkin nampak kecil namun ia mampu memulihkan ketirisan hasil negara sekiranya semua rakyat bersatu hati membanteras amalan mereka itu.
Justeru, jangan sesekali benarkan walaupun satu sen pun jatuh ke tangan ‘syaitan’ kerana ia boleh mengundang bala.
Disebabkan amalan mereka, negara kita gagal berkembang pesat dan terjebak dalam kelembapan ekonomi yang akhirnya menjerat rakyat.
Tidak mustahil amalan menjarah hasil negara itu juga boleh menyebabkan negara kita bankrap sebagaimana yang pernah dilalui oleh Sri Lanka, Greece, Venezuela dan Argentina.
*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub Editor Sinar Harian