GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya perkhidmatan feri di Pulau Pinang khususnya Feri Pulau Duyung hanya dilengkapi dengan tiga unit jaket keselamatan.
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, dakwaan itu tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran orang awam terhadap tahap keselamatan perkhidmatan feri yang dikendalikan oleh Pelabuhan Pulau Pinang.
Menurutnya, sebagai mod pengangkutan awam yang beroperasi di bawah pemantauan ketat pihak berkuasa maritim, setiap feri yang beroperasi di Pulau Pinang tertakluk kepada pelbagai keperluan dan peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM).
"Antara aspek yang dipantau termasuklah sijil penumpang (passenger certificate), perlindungan insurans, rekod penyelenggaraan dan pemeriksaan dok kapal bagi memastikan feri sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.
"SPPP ingin menegaskan bahawa semua aspek tersebut amat dititikberatkan dalam pengoperasian perkhidmatan feri di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Soon Hin berkata, setiap feri penumpang dilengkapi dengan sebanyak 263 unit jaket keselamatan yang disimpan rapi di dalam kabinet khas.
Beliau berkata, sekiranya berlaku kecemasan, kru feri yang terlatih akan memberikan bantuan kepada penumpang bagi memastikan penggunaan jaket keselamatan dapat dilakukan dengan teratur dan selamat.
Selain itu, tambahnya, tayangan video keselamatan turut dimainkan secara berterusan di ruang penumpang bagi memberikan panduan dan meningkatkan kesedaran keselamatan kepada semua pengguna feri.
"SPPP selaku pihak berkuasa pelabuhan, Badan Kawal Selia Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd sentiasa komited dalam memastikan keselamatan penumpang berada pada tahap tertinggi.
"SPPP selaku operator pelabuhan yang dilantik akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Laut Malaysia bagi memastikan semua aspek operasi mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
"SPPP juga menasihatkan orang awam agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih, sebaliknya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan penjelasan tepat berhubung sebarang isu berkaitan perkhidmatan feri Pulau Pinang," tambahnya.