KXP: Kedah sudah penuhi enam dari lapan syarat

Iklan
Sanusi

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah telah memenuhi pematuhan enam dari lapan nasihat ditetapkan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bagi melaksanakan projek Kedah Aerotropolis termasuk komponen utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo Kulim (KXP).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dua lagi nasihat bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan masih dalam proses pematuhan melibatkan kelulusan penubuhan aerodrom KXP dan libat urus bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi penyelarasan operasi pesawat awam dan tentera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perbincangan telah diadakan bersama Timbalan Panglima Tentera Udara dan pegawai kanan TUDM pada 19 Jun lalu dan ia membawa kepada komitmen dan persetujuan untuk mengadakan sesi libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

“Sesi libat urus pertama diadakan pada 19 Ogos di Alor Setar, TUDM mengemukakan beberapa isu teknikal termasuk kesesakan trafik udara di Butterworth Control Zone (TMA), gangguan pesawat TUDM ke kawasan operasi dan latihan udara dan darat, operasi di Kem Hobart serta laluan Navigation Exercise (NAVEC).

Iklan

“Pihak perunding mengambil maklum dan sedang meneliti isu-isu berkenaan untuk dibincangkan semula pada sesi libat urus berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Najmi Ahmad (Pas-Kupang) berkenaan hasil rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung projek Kedah Aerotropolis di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Iklan

Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah Aerotropolis diberikan lanjutan tempoh sah pematuhan nasihat MPFN selama lima tahun lagi sehingga 27 Oktober 2030, seperti diputuskan dalam Mesyuarat MPFN ke-48, dipengerusikan Perdana Menteri.

“Mesyuarat MPFN ke-49 pada 13 Oktober turut bersetuju agar pembangunan komponen industri dan perniagaan (Business Park) serta Sidam Logistic and Manufacturing (SLAM) Hub dapat diteruskan tanpa menunggu kelulusan penubuhan aerodrom,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua aspek teknikal dipatuhi agar Kedah Aerotropolis dapat direalisasikan selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, ke arah menjayakan The Greater Kedah.

“Kerja-kerja teknikal yang dilaksanakan oleh KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah menyiapkan enam laporan utama antaranya Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Impak Warisan (HIA), Geological Terrain Mapping (GTM) serta beberapa lagi laporan telah diselesaikan,” jelasnya.

Beliau berkata, projek Kedah Aerotropolis akan menjadi pemangkin ekonomi wilayah Utara melalui pembangunan lapangan terbang kargo, taman industri, hub logistik dan rangkaian perhubungan baharu termasuk lebuh raya serta laluan kereta api.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan projek berimpak tinggi itu berjaya direalisasikan.

“Saya beriltizam dengan segala kudrat yang ada untuk pastikan KXP menjadi kenyataan. Ini bukan projek baharu, bukan saya yang rancang tetapi cadangan sejak 2014," katanya.