Hentikan isyarat ‘angkat tangan’ keluar masuk sempadan

Iklan
Kenderaan keluar ke Thailand dari Kelantan di ICQS, Rantau Panjang. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

MACHANG – Polis giat membanteras taktik ‘angkat tangan’ sebagai tanda isyarat untuk keluar atau masuk ke negara ini melalui mana-mana pintu sempadan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sekali gus menolak amalan lama yang dipercayai masih digunakan segelintir individu termasuk golongan kenamaan atau VIP dan penjawat awam untuk melepasi pemeriksaan tanpa dokumen perjalanan sah.

Iklan
Iklan

“Tiada mana-mana individu, termasuk VIP sekalipun boleh melepasi sempadan hanya dengan angkat tangan.

“Untuk berurusan di sempadan, semua orang mesti menggunakan pasport atau pas sempadan, itu sahaja dokumen yang sah,” katanya ketika ditemui selepas Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang di sini pada Khamis.

Iklan

Mohd Yusoff - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

Beliau berkata, berhubung dakwaan kad Gabenor yang dikeluarkan oleh pihak Thailand, katanya, hanya boleh digunakan di negara tersebut.

Iklan

“Kad itu hanya boleh digunakan di Thailand dan tidak boleh di Malaysia.

“Nak lintas sempadan, tak boleh guna selain dokumen sah dan tidak mahu budaya angkat tangan ini diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar pada Jumaat lepas melaporkan lapan individu termasuk dua wanita ditahan selepas memasuki Kelantan tanpa dokumen sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pasir Mas.

Kenderaan keluar ke Thailand dari Kelantan di ICQS, Rantau Panjang. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

Mereka dipercayai menyeberangi sempadan menggunakan laluan VIP selepas pemandu kenderaan mengangkat tangan kepada pegawai bertugas seolah-olah sebagai isyarat pelepasan untuk melintas.

“Kes terbabit kini menunggu tindakan lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan di bawah Akta Imigresen.

“Taktik sebegini membuka ruang luas kepada penjenayah rentas sempadan,” ujar Mohd Yusoff.

Beliau sempat berkongsi penugasan di Utara sebelum ini membabitkan anggota penguat kuasa yang menggunakan taktik sama di Bukit Kayu Hitam terbongkar apabila didapati membawa bom tangan, senapang dan pistol.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff memberitahu, setakat ini empat pangkalan haram di sempadan Sungai Golok sudah dirobohkan dalam usaha mengekang jenayah penyeludupan termasuk dadah.

Selainnya, pihak polis turut mengenal pasti modus operandi baharu digunakan sindiket pengedaran dadah di negeri itu yang kini beralih ke kawasan Utara.

“Saya diberitahu oleh rakan sejawat di Kedah dan Perlis memaklumkan banyak tangkapan baharu di lokasi mereka membabitkan dadah yang bernilai tinggi dan kuantiti yang besar,” katanya.