'Pil gila' bahaya, penagih sukar pulih – Ketua Polis Kelantan

Iklan
Peserta yang menyertai Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan di Machang.

MACHANG - Pil kuda yang digelar ‘pil gila’ menjadi dadah paling popular di Kelantan disifatkan dadah sintetik paling berbahaya apabila penagih berdepan kerosakan otak sehingga sukar dipulihkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keadaan itu jauh berbeza berbanding dadah lain seperti ganja yang mempunyai potensi pemulihan lebih tinggi, manakala dadah sintetik tersebut menunjukkan kesan jangka panjang yang lebih parah.

Iklan
Iklan

“Dadah sintetik kini tidak sama seperti dahulu kerana kesannya lebih bahaya dan boleh mengubah tingkah laku penagih.

“Setakat ini, menurut pihak hospital dan pihak Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, belum ada penagih yang pulih sepenuhnya sekiranya terjebak dengan dadah sintetik ini,” katanya.

Iklan

Mohd Yusoff (tengah) yang tiba di UiTM Machang dan bersalaman dengan pelajar.

Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Rector UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani.

Menurut Mohd Yusoff, pil kuda sering digelar ‘pil gila’ oleh masyarakat setempat itu juga menjadi faktor utama peningkatan jenayah ganas di negeri Kelantan termasuk beberapa kes pembunuhan dan serangan agresif yang berlaku sejak tahun lalu.

“Sebab itu sejak memimpin kontinjen Kelantan, saya melancarkan jihad dadah dan menutup sempadan.

“Hampir semua jenayah berpunca daripada dadah, terutama pil kuda,” katanya.

Ujar beliau, walaupun sempadan Kelantan–Thailand diperketat dan pangkalan haram ditutup, usaha membanteras dadah sintetik perlu dilakukan secara konsisten kerana modus operandi pengedar mula bertukar ke laluan laut serta di Utara tanah air.

“Saya arahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menangkap sekurang-kurangnya 60 penagih setiap bulan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff berkata, indeks jenayah keseluruhan di Kelantan mencatat penurunan 27 peratus bermula Januari hingga kini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Penurunan itu membabitkan kategori jenayah harta benda termasuk curi, pecah rumah dan kecurian kenderaan manakala jenayah kekerasan ada sedikit peningkatan,” katanya.