KLANG - Impian seorang juruwang untuk melangsungkan perkahwinan di rumah pusaka keluarganya di Kampung Papan, Pandamaran di sini musnah selepas kediaman berusia lebih 40 tahun itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
Mangsa terjejas, V. Harina, 40, berkata, rumah itu dibina oleh bapanya, K. Visuanthan, 62, dengan modal kira-kira RM30,000 dan hanya menunggu masa untuk dirobohkan pada bila-bila masa pada Khamis.
“Saya rancang hendak buat majlis kahwin di rumah ini pada Jun tahun depan, namun semuanya musnah.
“Kami sekeluarga ketika ini terpaksa menumpang sementara di rumah bapa saudara di Pelabuhan Klang dan hanya barang penting sahaja kami bawa, selebihnya terpaksa ditinggalkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Khamis.
Harina yang bekerja di sebuah pasar raya di Pandamaran berkata, perasaannya sebak melihat rumah pusaka yang dibina sendiri oleh bapanya bakal dirobohkan selepas menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh.
“Rumah ini penuh cerita dan kenangan keluarga dari saya kecil sampai sekarang, memang tak dapat bayang apabila ia dirobohkan begitu sahaja,” tambahnya.
Seorang warga emas, Luar Tuan Huat, 65, mengakui berdepan detik sukar selepas rumah yang didiami lebih 60 tahun itu dirobohkan selain tidak mempunyai tempat berteduh buat masa ini.
“Saya tidak tahu hendak bermalam di mana, buat masa ini belum bersedia untuk mengosongkan rumah.
“Saya merayu untuk menangguhkan dua hari lagi untuk kami berkemas dan membuka papan rumah, namun difahamkan kerja perobohan tetap dilaksanakan,” jelasnya.
Katanya, beliau kini tinggal bersama ahli keluarga lain termasuk seorang yang masih bersekolah sementara mencari tempat berlindung baharu.
“Barang-barang banyak yang tak sempat nak pindah, ada yang terpaksa letak di luar sahaja. Notis pun singkat, dua minggu sahaja, tak sempat nak urus semua,” katanya.
“Saya juga bimbang memikirkan nasib anak yang masih bersekolah selepas kehilangan tempat tinggal secara tiba-tiba,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee menggesa pemaju menunjukkan keprihatinan dengan memberi kelonggaran kepada penduduk kampung yang terjejas susulan kerja-kerja perobohan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemaju bagi mencari penyelesaian terbaik dan pemaju bersetuju menyerahkan 2.8 hektar tanah kepada kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada langkah penempatan semula.
“Kerajaan negeri akan menyalurkan tanah itu kepada anak syarikat untuk urusan pembangunan semula dan pembahagian kepada penduduk,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, walaupun pemaju telah memberikan surat tawaran berkaitan tanah berkenaan, beberapa syarat yang ditetapkan dianggap tidak sesuai dan sedang diperhalusi.
“Saya sudah bincang dengan Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah dan kami bersetuju untuk menandatangani perjanjian bersama pemaju supaya tanah itu dapat diagihkan kepada penduduk secepat mungkin,” katanya.
Tuck Chee berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga sudah mengarahkan Permodalan Negeri Selangor Berhad untuk berbincang mengenai bentuk pampasan atau bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk yang terjejas.
“Kita mahu semua pihak selesaikan perkara ini secara baik, tanpa kekecohan. Saya harap pemaju dapat bertolak ansur dan jangan terlalu tegas, beri sedikit ruang kepada penduduk,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, setakat ini kira-kira 70 rumah sudah dirobohkan manakala 30 lagi masih menunggu giliran selepas notis dikeluarkan.
“Ada penduduk yang sudah berpindah ke rumah sewa sementara termasuk di kawasan Taman Klang Jaya.
“Kerajaan negeri juga sedang mengatur bantuan perumahan melalui skim sewa rumah di bawah Rumah Selangorku dengan kadar antara RM450 hingga RM900 sebulan mengikut keluasan,” katanya.