KSU Perbendaharaan hantar surat kepada Sabah minta rundingan pemberian khas dimulakan segera - PM

Iklan
Anwar ketika dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini.. Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican pada Khamis telah menghantar surat secara rasmi kepada kerajaan negeri Sabah meminta supaya rundingan berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada negeri itu dimulakan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu dilakukan bagi memastikan rundingan berkenaan tidak tertangguh.

Iklan
Iklan

“Hari ini Perbendaraan (Malaysia) melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) meminta supaya rundingan dimulakan segera supaya tidak ada lagi penangguhan.

“Saya nak jelaskan sebelum saya rujuk kepada perkara kedua bagi mengelakkan kekeliruan.

Iklan

"Ada yang menafsirkan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan itu akan juga mengungkit isu pertama.

"Saya nak jelaskan sekali lagi tidak ada rayuan rayuan dalam isu pemberian khas... noktah,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini.

Iklan

Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta beliau menyatakan rasional keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan pemberian khas negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil dan sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu yang lain serta apa implikasi keputusan itu.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional', serta melanggar Perlembagaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil kerana ia juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah kerajaan membuat penelitian dan mengambil kira semua pertimbangan.

“Kerajaan Malaysia sudah tentunya terikat dengan Perlembagaan, perjanjian dan menghormati perundangan. Sebab itu kita menunggu sehingga 11 November 2025 untuk mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri dan mendengar taklimat penuh dari Peguam Negara serta penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait pemberian khas kepada Sabah,” ujarnya.

Anwar menjelaskan, perkara yang dibangkitkan sekarang ialah apa yang dimaksudkan sebagai kekhilafan dalam penghakiman yang tidak melibatkan pemberian khas 40 peratus hasil.

“Ia kerana alasan penghakiman berkenaan pada kefahaman kita itu banyak yang terlanjurdan bukan dalam bidang perundangan umpamanya alasan penghakiman antaranya mendakwa kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undnag dan tidak rasional.

“Malah mengaitkan kesilapan besar yang dibuat oleh kerajaan sejak 1974 juga bermakna kerajaan Persekutuan di bawah (pimpinan Perdana Menteri) Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamada dan sehingga sekarang.

“(Yang turut libatkan) kerajaan negeri di bawah Tun Datu Mustapha Harun, Tun Fuad Stephens sehingga sekarang dan ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam kerajaan dahulu sejak 1974 sehingga sekarang. Semuanya diputuskan sebagai terlanjur,” ujarnya.

Kata Anwar, ia merupakan satu keputusan yang sangat serius dan disebabkan itu beliau berharap agar semua ahli Parlimen membaca alasan penghakiman kerana tidak mahu ia menjadi polemik politik.