MAKKAH – Hujan lebat yang melanda wilayah Makkah pada Rabu menyebabkan beberapa kawasan di bahagian selatan ditenggelami air, sekali gus mengakibatkan gangguan lalu lintas dan amaran cuaca merah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Negara (NCM), hujan berterusan disertai ribut petir, hujan batu dan risiko banjir kilat dijangka berlanjutan hingga lewat malam.
Bagaimanapun, kawasan tengah Makkah termasuk kawasan sekitar Masjidil Haram hanya mengalami angin kuat serta langit mendung tanpa hujan.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan kenderaan meredah jalan yang dinaiki air di beberapa daerah selatan seperti Difa‘q, yang dilanda ribut kuat selama dua hari berturut-turut.
“Dengan izin ALLAH, sebahagian besar wilayah Arab Saudi akan mengalami hujan sederhana hingga lebat bermula Jumaat hingga Isnin,” kata jurucakap NCM, Hussein Al-Qahtani dalam kenyataan di platform X.
Beliau turut menggesa orang ramai agar berhati-hati dan mengelak kawasan rendah.
Pihak berkuasa Pusat Krisis dan Pengurusan Bencana Emirat Makkah turut menasihati penduduk serta pengguna jalan raya supaya menjauhi lembah, terowong dan kawasan takungan air.
“Hujan ribut petir dijangka berterusan antara Jumaat hingga Isnin. Penduduk diingatkan untuk berwaspada dan mematuhi arahan rasmi,” jelas Hussein.
Dalam pada itu, Raja Salman mengarahkan pelaksanaan solat Istisqa’ (solat memohon hujan) di seluruh negara pada Khamis, 13 November, sejajar dengan sunnah Nabi Muhammad SAW ketika berlakunya musim kemarau.
Ramalan cuaca juga menunjukkan hujan dijangka turun di kebanyakan wilayah termasuk Madinah, Riyadh, Asir, Al-Baha, Jazan, Qassim, Hail, Tabuk, Al-Jouf, Wilayah Sempadan Utara serta sebahagian kawasan Timur Arab Saudi sehingga 17 November.
Fenomena cuaca tidak menentu itu turut memberi kesan kepada beberapa negara sekitar lain seperti Mesir, Iraq, Jordan, Syria, Lubnan, Palestin dan Kuwait, dengan potensi hujan lebat dan banjir di kawasan lembah. – Agensi