Pesawat terima ancaman bom, rupanya palsu

Iklan
Semua penumpang mendarat dengan selamat. Foto NDTV

NEW DELHI – Sebuah pesawat Air India Express dalam perjalanan dari Mumbai ke Varanasi menerima ancaman bom hingga prosedur kecemasan diaktifkan serta-merta pada Rabu.

NDTV melaporkan, pesawat berkenaan kemudian melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Lal Bahadur Shastri, Varanasi sebelum semua penumpang dipindahkan ke kawasan selamat.

Iklan
Iklan

Pesawat turut dibawa ke zon khas bagi pemeriksaan keselamatan menyeluruh dan rapi.

Jurucakap Air India Express berkata, amaran keselamatan itu diterima semasa penerbangan dan tindakan pantas diambil mengikut protokol yang ditetapkan.

Iklan

"Penerbangan kami ke Varanasi menerima ancaman keselamatan. Pihak lapangan terbang dimaklumkan serta-merta dan semua prosedur keselamatan dilaksanakan dengan segera.

"Pesawat terbabit hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Dalam masa sama, beberapa lapangan terbang utama di India termasuk di Delhi, Mumbai, Chennai, Thiruvananthapuram dan Hyderabad turut menerima e-mel ancaman bom pada hari sama.

E-mel berkenaan yang didakwa dihantar menggunakan alamat syarikat penerbangan IndiGo Airlines, diterima sekitar jam 3.40 hingga 3.45 petang dan mencetuskan pemeriksaan keselamatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, hasil siasatan Jawatankuasa Penilaian Ancaman Bom mendapati semua ancaman tersebut hanyalah palsu.

Pihak berkuasa kini sedang meneliti sama ada insiden di Varanasi mempunyai kaitan dengan siri ancaman yang diterima lebih awal di lapangan terbang lain.

Sementara itu, minggu lalu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGIA) di Delhi turut terganggu akibat gangguan teknikal pada sistem kawalan trafik udara, yang menjejaskan lebih 400 penerbangan termasuk Air India dan IndiGo.