Langkawi laluan strategik PATI masuk ke negara ini – Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution (tengah) pada sidang akhbar perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di Langkawi pada Rabu. - Foto Polis Langkawi

LANGKAWI – Kedudukan Pulau Langkawi yang strategik berhampiran sempadan Thailand dikenal pasti menjadi antara faktor utama pulau pelancongan itu sebagai laluan pilihan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mendarat ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil maklumat awal daripada mangsa yang terselamat dalam insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini menunjukkan mereka memilih Malaysia sebagai destinasi akhir.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesemua mangsa merupakan warga Myanmar yang sanggup mengambil risiko merentas lautan dalam keadaan cuaca tidak menentu semata-mata untuk memasuki negara ini.

“Setakat ini, semua mangsa dari Myanmar. Ada yang berasal dari kampung yang diusir dan ada juga dari kem pelarian. Mereka membayar sejumlah wang kepada pihak dipercayai sindiket untuk datang ke Malaysia.

Iklan

“Mereka sanggup berlayar dalam keadaan berbahaya, terutama ketika monsun seperti sekarang,” katanya pada sidang akhbar berkenaan perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di sini pada Rabu.

Saifuddin Nasution - Foto Polis Langkawi

Iklan

Saifuddin berkata, Langkawi menjadi tumpuan kerana kedudukannya yang hampir dengan sempadan Thailand selain terletak berdekatan dengan daratan.

Menurut beliau, kejadian seperti itu tidak boleh dianggap terpencil kerana ia melibatkan satu ekosistem yang lebih besar yang mendorong PATI meninggalkan negara asal mereka.

“Kalau di negara jiran berlaku ketidakstabilan dan cabaran kemanusiaan, akan wujud push factor yang menyebabkan mereka mencari tempat baharu untuk berlindung,” jelasnya.

Sementara itu, katanya lagi, polis masih menyiasat sama ada insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan manusia, jenayah terancang atau aktiviti pemerdagangan orang.

“Fokus utama ketika ini ialah operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih diteruskan sehingga tempoh munasabah sebelum penamatannya diumumkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan sentiasa menambah baik keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di perairan negara.

"Maritim Malaysia merupakan antara agensi tumpuan saya di kementerian. Mereka minta helikopter, kita bagi. Empat helikopter dari Itali akan tiba tahun ini.

“Kita juga tambah kapal peronda luar pesisir, bot, dron dan radar. Semua ini adalah usaha berterusan untuk mengukuhkan kawalan perairan negara,” katanya.