KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) sedang menyiasat 17 kes melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri ini setakat November tahun ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, kes berkenaan melibatkan pelbagai bentuk perlakuan, namun kebanyakannya membabitkan isu pemakaian pakaian wanita oleh lelaki (mak nyah) dan wanita berpakaian seperti lelaki (pengkid).
“Kes yang diterima ini bukan semua terus kepada tindakan undang-undang, sebaliknya kita ambil pendekatan kaunseling dan bimbingan bagi membantu mereka kembali kepada fitrah,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Mohd Asri berkata, perbuatan berpakaian menyerupai jantina bertentangan merupakan kes paling banyak direkodkan sepanjang tahun ini.
Ujarnya, sebahagian daripadanya masih dalam proses perbincangan serta pemantauan lanjut oleh pihak berkuasa agama.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan isu berkenaan bagi memastikan setiap individu diberi ruang untuk diperbetulkan melalui pendekatan dakwah dan kasih sayang.
"Antara program yang dijalankan ialah program tafsir al-Quran yang dianjurkan bersama Jaheaik, Pusat Khidmat Keluarga dan Sosial Komuniti Mawaddah Center dengan kerjasama pertubuhan Sahabat.
"Seramai 20 individu daripada golongan LGBT telah terlibat dalam program berkenaan yang bermula dengan pembelajaran muqaddam sebelum berjaya menamatkan tafsir al-Quran sepenuhnya," katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut melatih fasilitator agar mampu berkomunikasi dengan pelbagai kumpulan masyarakat termasuk LGBT dan generasi muda.
Selain itu katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut mengeluarkan khutbah khas bertajuk LGBT yang dibacakan di seluruh masjid negeri pada 8 Ogos lalu sebagai kesinambungan kepada usaha dakwah yang dilaksanakan sebelum ini.
“Dari aspek dakwah, pelbagai pendekatan telah digerakkan oleh kerajaan negeri bagi membendung isu ini secara berhemah dan berterusan,” katanya.