KOTA BHARU - Lebih 10 individu termasuk pempengaruh media sosial di Kelantan telah dipanggil dan diberi sesi kaunseling oleh kerajaan negeri selepas didapati memuat naik kandungan tidak senonoh di platform media sosial, khususnya di TikTok.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, tindakan itu diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) di bawah Seksyen 21 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) negeri.
“Kes yang diambil ini melibatkan mereka yang memuat naik atau mengeluarkan kata-kata tidak sopan di media sosial.
"Majoritinya kita selesaikan dengan kaunseling dan setakat ini belum ada pendakwaan dibuat,” katanya ketika sidang akhbar selepas Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, sepanjang tempoh setahun itu, kes yang telah direkodkan kebanyakannya melibatkan kandungan berbentuk percakapan atau siaran langsung di TikTok yang mengandungi unsur galakan terhadap perkara tidak bermoral.
Ujarnya, bagaimanapun, ada juga kes yang lebih berat tetapi dilakukan di luar Kelantan, jadi ia tidak dapat ambil tindakan.
Mohd Asri menegaskan, Kerajaan Kelantan akan terus memantau kandungan media sosial rakyat negeri ini bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan nilai Islam dan adat masyarakat tempatan.
“Nasihat kita kepada semua pengguna media sosial, khususnya pempengaruh, supaya lebih berhati-hati dan tidak menggunakan platform tersebut untuk perkara yang boleh mencemarkan imej diri serta agama,” katanya.