Belanjawan 2026 Terengganu: Resipi Samsuri imbangi pertumbuhan, kesejahteraan dan tadbir urus

Iklan
Ahmad Samsuri menunjukkan buku belanjawan kerajaan Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman. Foto Bernama (Gambar kecil: Hairul Azhar)

PADA 10 November 2025, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah membentang Rang Enakmen Perbekalan Negeri Terengganu bagi Belanjawan 2026.

Belanjawan ini disifatkan sebagai satu dokumen yang menekankan keseimbangan antara rangsangan ekonomi, pembangunan sosial dan pengukuhan tadbir urus kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Belanjawan 2026 Terengganu memperuntukkan jumlah RM1.938 bilion bagi perbelanjaan mengurus, termasuk RM450 juta bagi perbelanjaan pembangunan, dengan anggaran hasil negeri berjumlah RM1.998 bilion.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa “Kerajaan Negeri sentiasa komited... pelaksanaan pelbagai dasar fiskal serta program dan projek adalah menekankan rangsangan pertumbuhan ekonomi dan sosial yang seimbang bagi menjamin kesejahteraan yang menyeluruh dalam kalangan rakyat.”

Iklan

Beliau menetapkan tiga fokus strategik utama: (i) memperkemas tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan; (ii) menstruktur daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan; dan (iii) melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif.

Selain itu, beliau melancarkan tujuh pemacu utama untuk merealisasikan rangka keberhasilan, seperti penekanan kepada impak dan keberkesanan inisiatif, penubuhan jawatankuasa pelaksanaan, pembangunan data rakyat dan usahawan, kerjasama merentas agensi, memperkasakan Pihak Berkuasa Tempatan, memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta digitalisasi dan automasi kerajaan negeri.

Iklan

Selaku Menteri Besar, arahan Ahmad Samsuri adalah jelas: “Saya mahu semua entiti Kerajaan Negeri... bergerak dengan lebih pantas mengembangkan keupayaan bersama seterusnya meraih pencapaian yang lebih memberangsangkan, ke arah merealisasikan visi ‘Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera’ menjelang tahun 2030.”

Tekad beliau juga jelas: “Sekalipun Negeri Terengganu tidak diberikan perhatian istimewa oleh Kerajaan MADANI dalam RMK13 dan Belanjawan 2026, serta masih dikekang kewangannya sehingga kini, Negeri Terengganu mesti memacu potensi sendiri untuk melonjakkan prestasi.”

Sebagai negeri pengeluar petroleum, Terengganu telah lama bergantung kepada bayaran royalti daripada kerajaan persekutuan. Namun, Ahmad Samsuri sendiri telah beberapa kali menegaskan bahawa kebergantungan kepada royalti sedang dikurangkan.

Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa “purata peratusan kebergantungan kepada royalti... berkurang kepada 75.7 peratus bagi tempoh 2018–2024 berbanding 83.9 peratus pada 2008–2013”.

Prestasi ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah beliau untuk membina hasil janaan negeri yang lebih berdikari, misalnya melalui usaha menubuhkan entiti seperti Terengganu Petroleum yang diaspirasikan untuk penglibatan dalam segmen penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas bagi mengurangkan kebergantungan kepada royalti semata-mata.

Walaupun demikian, kenyataan beliau bahawa Terengganu “masih dikekang kewangannya sehingga kini” oleh kerajaan persekutuan memberi gambaran realiti bahawa ruang fiskal negeri masih terjejas oleh dasar persekutuan atau pengagihan dana.

Dalam konteks perancangan dan pelaksanaan dasar, ini menunjukkan beliau berada dalam kerangka dua tekanan, iaitu untuk menjana hasil sendiri (mengurangkan kebergantungan royalti) dan menangani keterbatasan fiskal persekutuan.

Daripada sudut kemampuan merancang, Belanjawan 2026 Terengganu menunjukkan rancangan yang tersusun dengan sasaran hasil janaan negeri ditetapkan (RM288.59 juta bagi hasil negeri) dan sasaran pertumbuhan ekonomi (antara 3.4 peratus hingga 4.2 peratus). Ini menunjukkan tahap perancangan yang jelas.

Dari segi pelaksanaan pula, beberapa pemacu dan inisiatif diarahkan ke arah peningkatan kecekapan, digitalisasi, pembiayaan alternatif dan pengukuhan usahawan.

Namun begitu, kemampuan pelaksanaan perlu dinilai dengan beberapa risiko: pertamanya, walaupun hasil negeri meningkat, masih terdapat kebergantungan yang penting kepada royalti dan dana luar negeri.

Kedua, pelaksanaan inisiatif seperti penubuhan “Terengganu Petroleum”, transformasi industri dan perindustrian serta pengembangan TVET memerlukan kapasiti pelaksana, modal dan sokongan rantaian yang konsisten yang bukan mudah dalam konteks negeri yang “dikekang kewangannya”.

Banyak pihak yang terkejut bila Terengganu terus mengungguli di tangga teratas dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (IKRM) dengan skor 8.64 pada 2024 dan peratus kebahagiaan bagi negeri ini meningkat daripada 87.6 peratus pada 2024 kepada 89.4 peratus pada 2025.

Bagaimanapun, seperti yang ditegaskan oleh Ahmad Samsuri, “manifestasi kesejahteraan pelbagai aspek kehidupan rakyat dari sudut fizikal, sosial, spiritual dan emosi” menjadi asas kepada kedudukan ini.

Pencapaian ini sebenarnya tidak mengejutkan jika dilihat kepada pendekatan belanjawan yang menghubungkan pembangunan sosial dan kesejahteraan dengan dasar ekonomi.

Fokus Belanjawan 2026 terhadap sektor sosial – dengan 72 peratus daripada perbelanjaan pembangunan diperuntukkan kepada sektor sosial – umpamanya adalah selaras dengan matlamat kebahagiaan.

Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Ahmad Samsuri memahami bahawa kebahagiaan rakyat bukan sekadar dari hasil ekonomi semata-mata, tetapi juga dari tadbir urus yang baik, akses perkhidmatan, inklusiviti dan kualiti hidup.

Namun, untuk memastikan kedudukan tersebut kekal, pelaksanaan konkrit perlu diberi tumpuan, misalnya dalam pengurusan kos sara hidup, pembangunan kawasan luar bandar, pelaburan dalam pendidikan dan kesihatan serta mengurangkan jurang sosial.

Tiga fokus yang diutarakan dalam Belanjawan 2026 Terengganu, iaitu tadbir urus, ekonomi dan sosial, ia adalah sangat wajar dalam konteks transformasi negeri moden.

Dari segi keboleh¬laksanaan, fokus tadbir urus adalah bersesuaian sekali kerana ia akan meningkatkan kecekapan dan akuntabiliti memainkan peranan penting dalam memaksimumkan hasil dalam keadaan kewangan terhad. Pemacu seperti kerangka keberhasilan, data rakyat dan digitalisasi adalah benar-benar langkah yang sesuai.

Fokus ekonomi pula adalah penting terutama apabila penghasilan petroleum adalah sektor tradisi dan risiko penyusutan. Oleh itu, menstruktur daya tahan ekonomi melalui industri bernilai tinggi, pelaburan dan perindustrian serta perumahan adalah tepat.

Keboleh-laksanaannya bergantung kepada keupayaan negeri menarik pelaburan, mempercepat proses dan mengurangkan birokrasi yang dinyatakan dalam pemacu seperti memperkasakan Pihak Berkuasa Tempatan dan pendekatan ”whole-of-state”.

Fokus sosial juga adalah tepat kerana kesejahteraan rakyat dan kebahagiaan adalah tunjang legitimasi politik, lebih-lebih lagi bagi pentadbiran yang ingin mengukuhkan sokongan rakyat. Pemacu seperti TVET, kemahiran, keusahawanan belia serta digitalisasi perkhidmatan adalah sesuai.

Tujuh pemacu yang disenaraikan juga secara keseluruhannya kelihatan pragmatik. Namun, ada beberapa cabaran yang perlu diatasi dari segi kebolehlaksanaannya.

Sebagai contoh, memperkasakan PBT dan mempercepat proses kebenaran merancang memerlukan perubahan struktur bukan hanya prosedur; penubuhan Majlis TVET atau entiti ‘Terengganu Petroleum’ memerlukan masa, modal dan pemantauan yang rapi; manakala usaha digitalisasi memerlukan infrastruktur dan kapasiti manusia yang mungkin terhad.

Oleh itu, kejayaan pemacu ini bergantung pada kesinambungan dan implementasi yang konsisten.

Kesimpulannya, Belanjawan Terengganu 2026 ini menunjukkan perancangan yang cukup baik dan berorientasikan masa depan dengan keseimbangan antara tadbir urus, ekonomi dan sosial serta usaha mengurangkan kebergantungan kepada royalti petroleum.

Walau bagaimanapun, cabaran pelaksanaan masih ada, terutama apabila dana persekutuan terhad dan apabila inisiatif memerlukan modal, kapasiti dan perubahan struktur yang besar.

Bagi memastikan Terengganu terus kekal unggul dalam Indeks Kebahagiaan, tadbir urus efektif dan kegigihan pelaksanaan inisiatif belanjawan adalah kuncinya.

Penggerakan tiga fokus dan tujuh pemacu secara konsisten akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan berpotensi menjadikan Terengganu sebagai negeri contoh yang maju, berkat dan sejahtera.

*Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor University College TATI merangkap Ahli Lembaga Pengarah The Future Research