SEAWAL tahun 1990-an, ramai antara kita membesar dengan satu tanggapan, ukuran kemajuan ialah sains, teknologi dan profesion “bernilai tinggi”.
Naratif ini tidak salah,negara memang memerlukan jurutera, doktor, saintis, pembina industri dan tenaga mahir.
Tetapi masalah mula timbul apabila takrif “kemajuan” disempitkan sehingga seni, warisan dan budaya dianggap sekadar hiasan; cantik ada, tiada pun tidak mengapa.
Dalam kerangka berfikir begini, muzium jatuh ke kelas kedua; tempat usang yang membosankan, atau hanya destinasi “lawatan ilmiah” untuk memenuhi jadual sekolah.
Mungkin sudah sampai masanya kita berhenti sejenak dan bertanya soalan yang tidak selesa, dalam dunia yang penuh gangguan, berita pantas, kandungan pendek, maklumat bercampur-baur, bolehkah masyarakat benar-benar berilmu tanpa ruang yang mengajar secara perlahan, berlapis, dan berasaskan bukti seperti muzium?
STEM tanpa jiwa: harga yang kita bayar
Hujah saya mudah. Kita sedang membayar harga kepada budaya “STEM tanpa jiwa”, bukan kerana STEM itu lemah, tetapi kerana kita memisahkan STEM daripada nilai, sejarah, estetika dan kemanusiaan.
Akhirnya, lahirlah masyarakat yang “boleh kira dan boleh kod”, tetapi rapuh dalam menilai konteks, menapis sumber, memahami makna, dan menimbang kesan sosial.
Ironinya, dunia hari ini semakin menuntut kemahiran silang disiplin. Majikan dan komuniti bukan sekadar perlukan orang yang cekap teknikal, tetapi manusia yang mampu berfikir secara kritis, memahami manusia lain, membaca tanda zaman, dan membuat keputusan yang beretika.
Di sinilah muzium sepatutnya kembali dilihat sebagai keperluan, bukan nostalgia.
Muzium ialah makmal pembelajaran kehidupan, tempat sains, seni, sejarah, etika dan identiti sosial bertemu dalam pengalaman yang nyata.
Jika sekolah mengajar konsep dan universiti memperdalam teori, muzium menawarkan “bukti” yang boleh disentuh mata, membantu kita menghubungkan ilmu dengan realiti.
Artifak bukan sekadar “objek cantik”
Salah faham terbesar tentang muzium ialah menyangka artifak hanyalah objek untuk dipandang.
Hakikatnya, hampir setiap artifak ialah jawapan kepada masalah zamannya, dan setiap jawapan itu mengandungi sains serta kejuruteraan.
Ambil contoh senjata. Pedang bukan semata-mata simbol keberanian, tetapi mengandungi ilmu bahan, berat, keseimbangan dan fungsi.
Pedang lurus dan pedang melengkung wujud bukan kerana “trend”, tetapi kerana konteks, pertempuran kaki berbanding berkuda, jarak serangan, cara menetak atau menikam, dan tahap kawalan ketika bergerak.
Apabila kita memandang pedang sambil bertanya “mengapa begini?”, kita sebenarnya sedang belajar fizik dan reka bentuk tanpa buku teks.
Logik yang sama boleh dilihat pada keris (metalurgi, rawatan haba dan seni tempa), kapal tradisional (hidrodinamik, struktur sambungan), tekstil (kimia pigmen, ketahanan gentian), tembikar (teknologi pembakaran), alat pertanian (kecekapan mekanikal), manuskrip (teknologi kertas, dakwat dan pengawetan).
Muzium mengajar satu perkara penting, ilmu dalam tamadun tidak berpecah-pecah, ia bersepadu.
Muzium melatih minda melawan “ekonomi perhatian”
Kita kini hidup dalam “ekonomi perhatian”, membaca sepintas lalu, melompat dari satu kandungan ke kandungan lain. Tanpa sedar, otak dilatih untuk cepat bosan, dan cepat membuat kesimpulan.
Maka tidak pelik apabila sebahagian pelawat menganggap muzium “tidak menyeronokkan”.
Namun, kemungkinan besar “tidak menyeronokkan” itu sebenarnya petanda muzium sedang mengajar kemahiran yang mahal, fokus, ketelitian, kesabaran intelektual dan budaya bukti.
Di muzium, kita dipaksa berhenti, melihat, membaca, membanding, dan berfikir. Jika kita mahu warganegara yang tahan provokasi, tidak mudah terperangkap maklumat palsu dan propaganda emosi, kita perlukan ruang yang melatih disiplin ini, muzium ialah salah satunya.
Ya, fungsi muzium boleh gagal
Kita juga perlu jujur, muzium boleh menjadi membosankan jika penceritaannya lemah, label tidak membantu, kurasinya tidak menyentuh hidup semasa, atau pengalaman pengunjung diabaikan.
Ada muzium yang terlalu “pamer”, kurang “mengajar”. Ada yang tidak mesra keluarga, pelajar, atau orang kurang upaya. Jika muzium kekal seperti gudang pasif, masyarakat memang akan menjauh.
Namun kesimpulan yang logik bukan “muzium tidak relevan”. Kesimpulan yang tepat ialah “muzium perlu dinaik taraf peranannya”.
Solusinya bukan meninggalkan muzium, tetapi mengangkatnya sebagai pusat pendidikan awam yang aktif, seperti perpustakaan moden yang hidup, bukan rak yang berdebu.
Apa yang boleh dibuat secara praktikal
Pertama, kaitkan muzium dengan kurikulum secara bermakna. Lawatan muzium bukan “jalan-jalan”. Ia perlu ada soalan panduan, tugasan refleksi, perbincangan, dan projek kecil.
Contohnya, pelajar diminta memilih tiga artifak dan menjelaskan “teknologi” di sebaliknya, kemudian mengaitkannya dengan konsep sains yang dipelajari di kelas.
Kedua, guna teknologi secara bijak, bukan kosmetik. Audio ringkas, kod QR untuk penceritaan mendalam, demonstrasi bahan, atau interaksi yang memudahkan pemahaman, bukan sekadar skrin besar untuk nampak moden.
Teknologi mesti menjawab satu soalan, adakah ia membantu pengunjung faham, atau sekadar mengalih perhatian?
Ketiga, ubah sikap keluarga dan komuniti. Muzium tidak patut diukur seperti pusat membeli-belah. Di muzium, “seronok” datang selepas faham makna.
Kita perlu membina budaya keluarga yang melihat muzium sebagai ruang perbualan, ibu bapa bertanya, anak menjawab, anak bertanya, ibu bapa sama-sama mencari jawapan.
Keempat, kerajaan dan korporat mesti anggap muzium sebagai pelaburan sosial. Muzium membina modal insan, identiti, kreativiti dan literasi budaya, semuanya elemen daya saing negara yang tidak boleh diganti dengan angka semata-mata.
Dalam bahasa mudah, muzium membantu membina rakyat yang “berakal”, bukan sekadar “berkemahiran”.
Kemajuan yang ada akal dan budi
Muzium bukan sekadar mempamerkan masa lalu. Muzium menunjukkan bagaimana manusia menyelesaikan masalah, membina teknologi, membentuk nilai, dan mencipta makna.
Jika kita mahu masyarakat yang benar-benar maju, bukan sekadar maju angka dan gedung, tetapi maju akal dan budi, muzium mesti dihargai oleh keluarga, sekolah, universiti, komuniti dan negara.
Soalan paling penting setiap kali melangkah masuk ke muzium bukan “ada apa di sini?”, tetapi “ilmu apa yang sedang menunggu untuk saya fahami?”
*Dr Rajabi Abdul Razak ialab Pensyarah Kanan Jabatan Seni Gunaan dan Rekabentuk, Kulliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antrabangsa Malaysia