KUANTAN – Pahang memiliki lebih 444,000 hektar tanah rizab Melayu ketika ini berbanding 222,000 hektar pada tahun 1955.
Perkara itu dikongsi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang (UKS) yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini pada Selasa.
Jumlah keluasan itu yang meningkat dalam tempoh 70 tahun membuktikan komitmen kerajaan negeri mempertahankan kawasan tanah rizab Melayu di negeri ini.
“Angka tidak berbohong, boleh semak di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
"Justeru, jika ada pihak yang mengatakan keluasan tanah rizab Melayu kian berkurangan di Pahang, janganlah percaya,” ujarnya.
Sementara itu, menjawab soalan dilontarkan hos, Azhar Sulaiman, mengenai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Wan Rosdy menjelaskan bahawa Pahang satu-satunya negeri yang mempunyai unit tersebut dengan antara fungsinya menguatkuasakan aktiviti pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.
Jelasnya, UPNP yang ditubuhkan pada tahun 2019 berperanan melakukan intipan, siasatan, serbuan serta mendakwa mereka yang menceroboh tanah kerajaan ke mahkamah.
“Alhamdulillah, sejak UPNP beroperasi, kita telah melakukan 23 operasi penguatkuasaan pemusnahan kawasan yang diceroboh melibatkan 3,366 ekar di seluruh Pahang.
"Ia termasuk Ops Sekat di Raub, di mana sejak dilaksanakan pada 25 April 2024, seramai 129 individu telah ditahan dan 12 kes telah dibawa ke mahkamah serta dijatuhkan hukuman,” katanya.
Ujarnya lagi, melalui penubuhan unit itu, kerajaan negeri dapat mengatasi masalah ketirisan hasil disebabkan aktiviti pencerobohan tanah.