PERKONGSIAN seorang ibu mengenai anak lelakinya yang sanggup berpura-pura sakit supaya boleh duduk di rumah kerana ketagihan bermain permainan dalam talian kembali mencetus kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa.
Malah dua kes tragis baru-baru ini, seorang adik dikelar abangnya dan seorang pelajar menikam rakan di sekolah dipercayai berpunca daripada permainan dalam talian menambahkan lagi kerisauan mengenai kesan permainan dalam talian terhadap anak-anak.
Apa yang disangka sekadar hiburan digital, kini menjadi ancaman senyap yang perlahan-lahan merosakkan minda dan emosi generasi muda tanpa disedari ibu bapa.
Permainan dalam talian kini antara platform paling popular di kalangan kanak-kanak. Dalam dunia maya itu, mereka bebas membina watak, bergaul dan mencipta dunia sendiri.
Namun, di sebalik warna dan bunyi yang menyeronokkan, wujud pengaruh sosial yang tidak sesuai untuk umur mereka dan boleh menanam nilai salah tentang keberanian, keganasan serta kebebasan tanpa batas.
Kebimbangan ibu bapa turut membanjiri laman sosial. Seorang ibu berkongsi kisah anak lelakinya berusia sembilan tahun bangun seawal jam lima pagi semata-mata untuk log masuk, mengamuk apabila disuruh tidur awal malah enggan keluar rumah dan sering berbohong tentang kerja sekolah.
Fenomena ini bukan terpencil, malah makin kerap berlaku dalam banyak keluarga moden. Selain itu, beberapa risiko lain semakin membimbangkan.
Anak mudah terdedah kepada pembelajaran seks secara salah, dating maya dan kandungan dewasa yang bersepah tanpa kawalan umur.
Pemangsa boleh menyamar di sebalik akaun palsu, membawa risiko pedofilia dan buli siber. Lama-kelamaan, minda anak mudah terpengaruh dan yang salah boleh nampak betul.
Kajian antarabangsa menunjukkan pendedahan berlebihan kepada dunia digital boleh mengubah cara anak berfikir. Mereka jadi ketagih, hilang fokus, cepat marah dan enggan bergaul di dunia sebenar.
Ibu bapa perlu memantau rapi tingkah laku anak-anak. Jangan biarkan anak hanyut sampai lupa cara hidup di dunia nyata kerana butang restart tidak wujud dalam kehidupan sebenar.
Pihak berwajib juga harus segera mengambil tindakan tegas untuk memantau dan mengawal platform sebegini sebelum ia melarat menjadi ancaman lebih besar.