PUTRAJAYA - Rasuah Busters dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melancarkan Kempen Integriti dan Antirasuah (KIAR) 2025, sebuah inisiatif nasional yang bertujuan memperkukuh budaya integriti, kejujuran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin berkata, KIAR 2025 merupakan kesinambungan kepada inisiatif Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang diperkenalkan sejak tahun 2021 dan kini diperluas sebagai gerakan nasional untuk memperkukuh kesedaran, kefahaman serta tindakan kolektif rakyat dalam menolak rasuah.
"Kempen yang bermula pada 1 November hingga 31 Disember 2025 ini diadakan bersempena Hari Integriti Nasional pada 5 November dan Hari Antirasuah Antarabangsa pada 9 Disember setiap tahun.
"Kempen ini digerakkan dengan empat objektif utama. Pertama, menyemai budaya integriti dan akauntabiliti dalam kalangan masyarakat melalui pendidikan, advokasi dan tindakan kolektif.
"Kedua, meningkatkan kesedaran awam tentang integriti sebagai asas utama dalam membina negara yang bersih, cekap dan dihormati," katanya ketika Sidang Media KIAR 2025 di Pejabat IKRAM, Putrajaya pada Selasa.
Tambah Badlishah, kempen tersebut turut menggalakkan penyertaan aktif rakyat dalam mengamalkan nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab sosial.
Selain itu, ujarnya, ia juga berpotensi mewujudkan platform dialog dan kolaborasi berterusan antara kerajaan, masyarakat sivil, sektor korporat dan institusi pendidikan bagi memperkukuh budaya integriti nasional.
"KIAR 2025 turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi dan agensi termasuk Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muslim Integrated Education Berhad (MIEB), Pertubuhan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni), Ikram Legal, Pertubuhan Literasi Demokrasi (AJAR Demokrasi), Malaysian Association of Muslim Finance Professionals (MFP) serta Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN).
"Rangkaian komuniti seperti MyIKRAM Bikers, Pertubuhan Pemuda Gemar Malaysia dan IKRAM Teens turut memainkan peranan dalam menjayakan kempen ini. Gabungan pelbagai agensi dan rakan strategik ini mencerminkan semangat kolaborasi rentas sektor dalam memperkukuh nilai integriti serta menolak rasuah di setiap lapisan masyarakat," katanya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen, pelbagai program berimpak tinggi telah dirancang untuk mengukuhkan mesej integriti dan antirasuah.
Ujarnya, antaranya adalah Majlis Pelancaran Rasmi KIAR 2025 yang diadakan pada 16 November 2025, disusuli dengan Pertandingan Video Pendek bertemakan “Integriti Di Mana Rasuah Binasa” yang berlangsung dari Oktober hingga November.
"Selain itu, Pertandingan Lukisan dan Komik Antirasuah akan diadakan pada bulan Disember, manakala Konvoi Motosikal Jelajah Integriti akan menjelajah ke seluruh negara dari November hingga Disember bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat.
"Kemuncak kempen akan berlangsung pada 13 Disember 2025 menerusi Karnival Hari Antirasuah Antarabangsa @ Alor Langsa 2025 diikuti Pertandingan Penulisan Artikel Integriti dan Antirasuah serta Forum Integriti dan Antirasuah yang akan diadakan pada akhir Disember.
"Semua aktiviti ini dirangka untuk mendekatkan mesej integriti kepada masyarakat secara inklusif dan menyeluruh dengan penekanan terhadap peranan rakyat dalam membentuk negara yang bebas rasuah," kata beliau.
Jelas Badlishah, KIAR 2025 turut dilaksanakan selaras dengan National Anti-Corruption Strategy (NACS) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia bagi menyokong agenda reformasi institusi negara, khususnya dalam usaha membina modal sosial berasaskan integriti.
Katanya, kempen berkenaan membawa mesej jelas bahawa perjuangan menolak rasuah bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat untuk membina sistem yang berintegriti, adil dan telus.
"IKRAM dan Rasuah Busters menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang, untuk bersama-sama menjayakan KIAR 2025 sebagai simbol solidariti nasional menolak rasuah dan membangunkan semula kepercayaan terhadap institusi negara.
"Melalui sokongan dan penyertaan semua pihak, KIAR 2025 diharap menjadi wadah penting dalam membentuk Malaysia yang berintegriti, sejahtera dan bebas rasuah sekali gus memperkukuh hala tuju ke arah negara yang disegani di peringkat antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menegaskan rasuah merupakan penyakit besar dalam masyarakat yang jika tidak dibanteras dengan segera, akan meninggalkan kesan buruk kepada generasi akan datang.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab menentang rasuah, sambil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha IKRAM dalam menjayakan KIAR 2025.
“Perjuangan menentang rasuah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab kita semua. Oleh itu, rakyat perlu menyokong dan terlibat secara aktif dalam setiap usaha membanteras rasuah,” ujarnya.
Hussamuddin turut berharap penglibatan masyarakat kali ini akan lebih meluas berbanding sebelum ini.
Beliau menegaskan isu rasuah di negara ini masih belum menunjukkan penurunan yang ketara, justeru kempen kesedaran seperti KIAR 2025 amat penting untuk menyemai nilai integriti dan menolak budaya rasuah dalam kalangan rakyat.