LANGKAWI - Seorang remaja lelaki etnik Rohingya ditemukan selamat di kawasan berbatu perairan Tanjung Chincin di sini selepas empat hari terkandas sendirian.
Mangsa, Ali Sharif, 18, dipercayai hanyut selepas bot kayu yang dinaiki bersama kira-kira 70 pelarian karam di laut.
Dia nekad berenang ke daratan dan bertahan dengan hanya meminum air bukit.
Ketika ditemui pasukan bomba kira-kira jam 12 tengah hari, Ali melambai menggunakan kepingan polisterin putih sebagai isyarat meminta bantuan.
“Bot bomba tidak dapat menghampiri kerana air cetek dan berbatu. Anggota terpaksa turun dan bantu menaikkan mangsa ke dalam bot,” kata Ketua Zon 4 (Langkawi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani.
Ali hanya mampu bertutur dalam bahasa Bengali dan temu bual dilakukan melalui penterjemah telefon.
Dia mendakwa berasal dari kem pelarian Rohingya di Bangladesh dan mempunyai keluarga di Thailand serta Malaysia.
Lebih mengejutkan, Ali mendakwa kemasukannya ke Malaysia diuruskan oleh ahli keluarga yang membayar kepada sindiket sebaik tiba di Thailand.
Dia menjelaskan tidak tahu jumlah bayaran tersebut dan mendakwa sindiket terbabit berada di negara berkenaan dan Malaysia.
Ali turut memaklumkan bahawa bot karam itu membawa 55 lelaki dan selebihnya wanita.
Dia mendakwa sempat melihat seorang penumpang meninggal dunia dalam kejadian itu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tragedi bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand terus meragut nyawa apabila empat lagi mayat ditemukan pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada 25 orang.
Difahamkan, kumpulan migran terbabit berlepas dari Buthidaung, Myanmar, hampir sebulan lalu menaiki sebuah kapal induk yang membawa kira-kira 300 orang.
Ketika menghampiri sempadan maritim Thailand–Malaysia, mereka dipecahkan kepada tiga bot iaitu satu kapal utama dan dua bot kecil.
Salah satu bot kecil yang membawa kira-kira 70 orang dipercayai karam menyebabkan ramai mangsa masih belum ditemukan.
Kumpulan selebihnya yang dianggarkan seramai 230 orang dari pelayaran asal masih belum dapat dikesan.