TMM 2026 beri peluang Kedah perkasa pelancongan

Iklan
Mohd Salleh. Foto FB Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA

ALOR SETAR - Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 memberi peluang kepada Kedah terus memperkasakan pelancongan dan menjadikan negeri tersebut sebagai salah satu destinasi pilihan di Semenanjung.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, Kedah melihat pengisytiharaan TMM 2026 sebagai peluang yang sangat besar kepada kerajaan negeri mempromosikan produk pelancongan sedia ada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Tahun Melawat Kedah 2025 adalah permulaan memartabatkan pelancongan negeri di mana pihak kerajaan, swasta dan pemain industri telah mempromosikan pelancongan Kedah kepada dunia luar melalui media massa, elektronik mahupun digital.

"Setakat ini, Kedah Tourism telah melangkah keluar ke Jepun, Thailand dan Brunei bagi melaksanakan promosi secara langsung.

Iklan

"Berdasarkan pengalaman tersebut, Kedah Tourism kemudiannya berjaya menganjurkan sendiri program Business to Business (B2B) di Sabah yang memberi peluang kepada 16 syarikat dan agensi pelancongan untuk menyertai sesi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdul Ghafar Saad (Bersatu-Guar Chempedak) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, hasil usaha promosi yang dijalankan termasuk di luar negara amat membanggakan sekali gus merancakkan promosi pelancongan peringkat domestik dan antarabangsa.

"Ketika ini, sudah ada agensi pelancongan dari Brunei menyatakan minat menjalin kerjasama dengan Kedah Tourism bagi membawa pelancong ke Kedah.

"Manakala bagi sesi B2B di Sabah, telah terjalin hubungan baharu antara pemain industri dari kedua-dua negeri khususnya dalam kalangan ejen pelancongan bagi memperkenalkan Kedah sebagai destinasi terkini di Semenanjung Malaysia selain Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang sebelum ini menjadi pilihan utama pelancong dari Borneo serta luar negara," katanya.

Jelas beliau, program Familiarisation Trip telah diadakan di Kedah, melibatkan hampir 300 peserta terdiri daripada ejen pelancongan, pempengaruh media sosial dan wakil media termasuk dari Thailand, China dan Indonesia.

"Pelaksanaan program ini dijayakan melalui kerjasama erat Kedah Tourism dengan beberapa rakan strategik seperti Tourism Malaysia, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, Islamic Tourism Centre dan Travel4All dari Indonesia.

"Hasil daripada segala usaha dan inisiatif yang dijalankan ini akan dapat kita nikmati pada tahun hadapan, bersekali dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026," jelas beliau.

Mohd Salleh berkata, selain memperkukuh promosi dalam dan luar negara, kerajaan negeri juga akan terus memastikan lebih banyak produk pelancongan baharu dapat diperkenalkan dan diketengahkan kepada pengunjung Negeri Jelapang Padi itu.