SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Satu sindiket penipuan ‘Love Scam’ yang menyasarkan warga Jepun terbongkar dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Semenyih, Kajang, baru-baru ini.
Sindiket yang terdiri dari warga asing itu beroperasi di media sosial dengan menggunakan identiti dan akaun palsu dan mencari mangsa sejak tiga bulan lalu.
Mereka berpura-pura sebagai pegawai organisasi atau individu berpengaruh untuk meyakinkan mangsa dari negara matahari terbit itu untuk menjalin hubungan cinta sebelum memperdaya mereka untuk menyerahkan duit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sindiket tersebut beroperasi secara tersusun dengan menumpukan sasaran kepada mangsa di negara Jepun melalui platform media sosial.
"Setiap ahli sindiket diarahkan mencipta akaun palsu dengan gambar serta latar belakang rekaan selain membuat hantaran harian bagi menjadikan akaun tersebut kelihatan aktif dan meyakinkan.
"Selepas berjaya menarik perhatian, mereka mula mendekati mangsa dengan mesej peribadi untuk mendapatkan nombor telefon dan akaun media sosial lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.
Jelas beliau, sindiket itu sangat tersusun dan melakukan pembahagian tugas dengan sebahagian ahli perlu berinteraksi dengan mangsa, sementara yang lain menguruskan urusan kewangan termasuk penerimaan serta pengagihan hasil penipuan.
"Sindiket ini juga menggunakan beberapa aplikasi media sosial sebagai medium komunikasi dalaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Selepas berjaya membina kepercayaan, ahli sindiket akan menggunakan pelbagai helah termasuk merayu simpati atau mencipta situasi kecemasan bagi memperdaya mangsa supaya memindahkan wang ke dalam akaun tertentu," katanya.
Ekoran itu, satu serbuan telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kajang dengan bantuan pakar analisa media sosial dari IPD Klang Selatan pada 5 November lalu.
"Seramai 13 individu bukan warganegara terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita. Selain itu, turut dirampas pelbagai peralatan melibatkan 11 komputer riba serta 11 telefon bimbit pelbagai jenis yang digunakan dalam operasi sindiket ini," katanya.
Kesemua suspek masih direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan individu yang dikenali secara maya serta tidak mudah terpedaya dengan janji cinta atau permintaan bantuan kewangan daripada kenalan internet," katanya.
Tambah Shazeli, orang ramai juga turut diingatkan tidak berkongsi maklumat peribadi, gambar atau butiran akaun bank kepada individu tidak dikenali.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sindiket 'calling centre' Love Scam itu diminta menghubungi Hotline IPD Kajang di talian 03-89114242 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Alif Ashraf Mohd Sohor bagi membantu siasatan.