PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lebih 500 panggilan palsu dalam tempoh tiga tahun.
Berdasarkan rekod jabatan itu, sebanyak 141 panggilan palsu direkodkan pada 2023, meningkat kepada 196 kes pada 2024, dan melonjak lagi kepada 211 panggilan pada tahun ini setakat September.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, walaupun jumlah panggilan palsu masih kecil berbanding keseluruhan panggilan kecemasan, peningkatan berterusan itu menunjukkan trend yang membimbangkan dan boleh menjejaskan kecekapan pasukan penyelamat.
“Setiap panggilan ke talian 999 dianggap sebagai peluang untuk menyelamatkan nyawa. Namun, apabila panggilan palsu dibuat, sumber operasi seperti kenderaan dan anggota digerakkan tanpa sebab munasabah, sekali gus menjejaskan masa tindak balas dan boleh membahayakan nyawa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab membuat panggilan palsu turut memberi kesan kepada penggunaan bahan bakar, tahap fizikal dan mental anggota di lapangan, selain mewujudkan risiko apabila pasukan penyelamat tidak dapat memberi tindak balas segera terhadap kecemasan sebenar.
“JBPM menegaskan bahawa membuat panggilan palsu ke talian 999 adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang. Pelaku boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Selain itu, individu terbabit juga boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Nor Hisham meminta orang ramai agar menggunakan talian kecemasan 999 dengan penuh tanggungjawab serta hanya bagi tujuan sebenar seperti melaporkan kebakaran, kemalangan jalan raya, bencana atau situasi kecemasan lain yang memerlukan bantuan segera.
Beliau berkata, komitmennya ialah untuk memastikan sistem baharu Next Generation Emergency Services 999 (NG999) berfungsi secara optimum bagi menggantikan sistem Malaysian Emergency Responses 999 (MERS999), sekali gus memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan negara.