Bunga ganja lebih RM6 juta ditemui ditinggalkan dalam sampan kayu

Iklan
JKDM berjaya gagalkan cubaan menyeludup bunga ganja bernilai lebih RM6 juta di Kuala Perlis.

 

PERLIS - [DIKEMAS KINI] Cubaan menyeludup bunga ganja bernilai lebih RM6 juta menggunakan sampan kayu gagal selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan serbuan dalam satu operasi di Kuala Perlis pada 13 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan JKDM dengan kerjasama Pasukan Risikan Ibu Pejabat, Unit Penguatkuasaan Marin Langkawi serta bantuan pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) sekitar jam 10 malam.

Menurutnya, sepasukan pegawai yang menjalankan pemantauan menemui sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan yang ditinggalkan di kawasan tambak persisiran pantai.

Iklan

“Hasil pemeriksaan menemukan empat guni bertulisan Thailand di dalam sampan berkenaan. Pemeriksaan lanjut ke atas guni itu membawa kepada penemuan bahan disyaki dadah jenis bunga ganja dengan berat keseluruhan kira-kira 67.48 kilogram.

“Nilai rampasan dianggarkan mencecah RM6,209,816,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Jelas beliau, modus operandi sindiket dipercayai menggunakan sampan kayu untuk membawa masuk dadah dari negara jiran sebelum mendarat di kawasan terpencil bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.

Katanya, JKDM dalam masa sama menggesa orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan kerana kegiatan itu bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya ke talian bebas tol 1-800-88-8855 atau ke pejabat JKDM terdekat.


Sementara itu di PAHANG, sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan bunga ganja bernilai RM5.34 juta tumpas hasil dua serbuan berasingan di Bentong dan Maran pada Selasa dan Khamis lepas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, rampasan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang dalam serbuan yang dijalankan pada 4 dan 6 November lalu.

Menurutnya, kes pertama di Bentong, apabila pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah kereta Toyota Camry yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Jalan Lama Bentong ke Bukit Tinggi.

“Pemeriksaan kenderaan itu menemukan 240 bungkusan plastik lut sinar disyaki berisi ganja seberat 140.4 kilogram yang disimpan dalam beberapa kotak dan guni.

"Namun, tiada pemandu atau penumpang ditemui kerana kenderaan ditinggalkan di lokasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar berhubung tangkapan dan rampasan oleh JSJN Kontinjen Pahang bagi daerah Maran dan Bentong di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Yahaya memberitahu, semakan nombor pendaftaran mendapati kereta itu milik seorang lelaki tempatan dari Johor Bahru dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan.

Bagi kes kedua di Maran, beliau berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun yang berperanan sebagai penghantar ditahan di Rehat & Rawat (R&R) Maran menghala ke Kuala Lumpur pada 6 November lalu.

Jelasnya, polis merampas 98 kilogram ganja disyaki jenis bunga ganja disimpan hasil pemeriksaan kereta jenis Perodua Ativa yang dipercayai milik suspek.

"Suspek mengaku menerima upah antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap penghantaran.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, jumlah dadah yang dirampas bagi kedua-dua kes di Maran dan Bentong mampu merosakkan seramai 500,000 orang yang menggunakannya.

Beliau menambah, kejayaan rampasan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.