MANILA - Taufan Fung-Wong, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai super taufan, telah melemah selepas melanda pulau Luzon di Filipina, menyebabkan sekurang-kurangnya empat kematian dan memaksa lebih 1.4 juta penduduk berpindah dari kediaman mereka.
Taufan itu membadai wilayah Aurora pada Ahad malam dengan kelajuan angin mencecah 185 km/j dan tiupan kencang sehingga 230 km/j, mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh dan gangguan bekalan elektrik di beberapa wilayah utama termasuk Isabela dan Catanduanes.
Antara mangsa yang terkorban termasuk dua kanak-kanak yang tertimbus dalam tanah runtuh di Kayapa, Nueva Vizcaya, seorang wanita yang rumahnya runtuh di Catbalogan City, dan seorang lelaki yang lemas dalam banjir di Viga, Catanduanes.
Walaupun kerosakan fizikal dilaporkan sebagai “tidak seteruk dijangka,” pihak berkuasa masih menilai kesan penuh bencana tersebut.
Ramai penduduk yang berlindung di pusat pemindahan melaporkan malam yang penuh ketakutan akibat bunyi angin dan runtuhan pokok.
Taufan Fung-wong kini bergerak ke arah barat laut menuju ke Taiwan, meninggalkan Filipina yang masih dalam proses pemulihan selepas dilanda Taufan Kalmaegi minggu lalu yang meragut lebih 200 nyawa. - Awani