Judi online: Belum terlambat selamatkan belia kita

Iklan
Perjuangan membanteras judi dalam talian adalah tanggungjawab bersama. Gambar hiasan

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mendedahkan jumlah belia yang terjebak dengan aktiviti perjudian online atau perjudian dalam talian di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

Walaupun tiada angka rasmi dikongsikan, kenyataan itu cukup memberi gambaran bahawa gejala ini semakin menular dalam kalangan generasi muda.

Iklan
Iklan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan isu berkenaan kini berada di bawah perhatian kementerian sekali gus menunjukkan kerajaan tidak memandang ringan terhadap ancaman sosial baharu yang berpunca daripada akses teknologi tanpa kawalan.

Fenomena perjudian dalam talian ini bukan sekadar isu undang-undang tetapi turut melibatkan dimensi psikologi, kewangan dan moral, malah belia yang terdedah kepada permainan maya atau e-sukan mudah terperangkap apabila platform hiburan bertukar menjadi ruang pertaruhan.

Iklan

Justeru, langkah KBS meneliti semula aspek penguatkuasaan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 amat signifikan.

Undang-undang sedia ada mungkin sudah tidak lagi relevan sepenuhnya dengan cabaran era digital yang menyaksikan batas antara sukan, hiburan dan perjudian semakin kabur.

Iklan

Menurut Hannah, KBS kini sedang menjalankan siri perbincangan meja bulat bersama pelbagai pemegang taruh bagi mencari jalan memperkukuh peranan penguat kuasa sekali gus menunjukkan kesediaan kementerian untuk mendapatkan pandangan menyeluruh sebelum memuktamadkan sebarang pindaan.

Antara isu yang dijangka disentuh termasuk peranan agensi keselamatan siber, pihak berkuasa komunikasi, serta penggiat sukan elektronik dalam memastikan platform digital tidak disalah guna untuk aktiviti perjudian terselindung.

Dalam masa sama, KBS turut mengingatkan bahawa kementerian tidak pernah mempromosikan e-sukan di sekolah secara rasmi bagi mengelakkan kekeliruan antara pembangunan bakat dengan aktiviti yang boleh mencetuskan ketagihan gajet atau kecenderungan ke arah perjudian maya.

Walaupun e-sukan diiktiraf sebagai salah satu cabang industri masa depan, garis pemisah antara permainan kompetitif dan perjudian perlu jelas kerana tanpa pemantauan rapi, minat terhadap e-sukan boleh dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperkenalkan unsur taruhan.

Dari sudut sosioekonomi, ketagihan perjudian dalam talian boleh membawa kesan domino iaitu menjejaskan produktiviti, kesihatan mental dan kesejahteraan keluarga.

Dalam konteks ini, KBS dilihat perlu memperkukuh kerjasama rentas kementerian termasuk dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi serta agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mewujudkan mekanisme pencegahan lebih berkesan.

Bagaimanapun, perjuangan membanteras perjudian dalam talian bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata dan masih belum terlambat untuk selamatkan anak-anak kita dengan adanya kesedaran bersama antara masyarakat, institusi pendidikan dan komuniti sukan bagi memastikan teknologi dimanfaatkan sebagai alat kemajuan, bukan jerat kemusnahan bagi generasi belia negara.