DALAM kehidupan berkeluarga perselisihan antara adik-beradik sering dianggap lumrah, ada kalanya sekadar gurauan yang melampau, kadangkala pertengkaran kecil yang cepat reda.
Namun insiden terbaru di Ayer Tawar, Manjung, membuktikan sengketa kecil mampu bertukar tragedi yang meninggalkan parut dalam hubungan kekeluargaan.
Pada 7 November lalu, seorang lelaki berusia 56 tahun cedera parah di kepala selepas ditetak oleh adiknya.
Pergaduhan dipercayai tercetus apabila suspek berang terhadap tindakan abangnya menendang pintu bilik air ketika anak perempuannya masih berada di dalam.
Tindakan remeh itu mencetuskan kemarahan tidak terkawal hingga membawa kepada insiden ganas.
Beberapa hari sebelumnya, di Kampung Pida 3, Jerlun, seorang lelaki berusia 45 tahun pula ditemui maut dengan kepala terputus akibat ditetak adik iparnya dalam satu pergaduhan di kawasan sawah padi.
Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai sejarah penyakit mental dipercayai mengalami halusinasi menjurus kepada tindakan agresif.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah menjelaskan suspek pernah menerima rawatan psikiatri sejak 2021, namun berhenti menghadiri janji temu hospital kira-kira lima bulan sebelum kejadian.
Dua kes ini berbeza latar dan sebab tetapi menonjolkan realiti sama iaitu tekanan mental yang tidak ditangani boleh menular kepada orang tersayang dan konflik kecil yang diabaikan mampu berakhir dengan tragedi tidak dapat dipulihkan dalam sesebuah keluarga.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia, satu juta rakyat Malaysia atau 4.6 peratus penduduk berusia lebih 15 tahun, dilaporkan mengalami kemurungan, angka yang meningkat dua kali ganda berbanding 2019.
Golongan muda berusia antara 16 hingga 29 tahun paling terkesan, dengan hampir separuh pernah terfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.
Angka ini bukan sekadar statistik tetapi cerminan tekanan yang mungkin tersembunyi di sebalik wajah tenang ahli keluarga kita.
Tekanan mental yang tidak diurus baik meningkatkan risiko tindakan luar jangka termasuk dalam konflik keluarga yang kelihatan remeh tetapi berakar daripada emosi terpendam dan tidak terkawal.
Pergaduhan antara adik-beradik boleh berpunca daripada pelbagai faktor antaranya persaingan untuk perhatian ibu bapa, salah faham, tekanan emosi, kekurangan kemahiran menyelesaikan masalah, isu harta atau perbezaan ideologi.
Apa pun sebabnya, kegagalan mengawal emosi boleh menukar kasih menjadi dendam.
Dalam Islam, hubungan kekeluargaan amat dititikberatkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (Hadis riwayat Muslim)
Hubungan adik-beradik dapat diperkukuh dengan keberanian untuk meminta maaf dan memaafkan, berkomunikasi secara terbuka apabila berlaku kekeliruan serta meluangkan masa bersama bagi mengeratkan kasih sayang dan keharmonian.
Peranan ibu bapa juga penting memastikan hubungan anak-anak kekal utuh walaupun berlaku sengketa.
Antara langkah berkesan ialah memisahkan anak ketika emosi memuncak, mendengar tanpa menghakimi, membantu mencari penyelesaian adil dan menunjukkan kasih sayang secara saksama bagi mengelak rasa cemburu atau dendam tersembunyi.
Dua insiden di Manjung dan Jerlun bukan sekadar kisah jenayah tetapi peringatan keras konflik kecil dalam keluarga boleh menjadi pemangkin tragedi apabila emosi dan tekanan mental tanpa kawalan.
Bagi penulis, pendidikan emosi, komunikasi berkesan dan kasih sayang antara ahli keluarga ialah benteng terbaik melindungi nyawa serta membina keharmonian keluarga.
Oleh itu, silaturahim yang kukuh bukan sahaja membawa ketenangan tetapi juga keberkatan dan keselamatan dalam setiap keluarga. Harus diingat, sengketa kecil yang diabaikan hari ini mampu menjadi mimpi ngeri esok.
* Siti Shamila Che Zahari ialah Sub Editor Sinar Harian