KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan membenarkan rakyat negeri ini untuk mengusahakan perlombongan emas secara sah melalui kaedah mendulang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan belanjawan negeri di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim pada Isnin.
“Kerajaan negeri akan mengeluarkan lesen khas kepada penduduk tempatan bagi membolehkan aktiviti mendulang dijalankan di atas tanah kerajaan dengan syarat-syarat tertentu bagi tujuan keselamatan, kawalan alam sekitar dan rekod rasmi perlombongan.
“Kami ingin rakyat sendiri mendapat manfaat langsung daripada khazanah negeri dan boleh mendulang, asalkan tidak menceroboh tanah syarikat atau kawasan yang sudah diberi hak kepada pihak lain,” katanya.
Dr Mohamed Fadzli berkata, pendekatan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan kekayaan hasil bumi tidak hanya dinikmati oleh syarikat besar, sebaliknya turut mengalir kepada rakyat.
“Keputusan ini dibuat supaya rakyat menikmati manfaat langsung daripada kekayaan hasil bumi negeri,” katanya.
Mengulas soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional - Galas) berkaitan kedudukan simpanan jongkong emas, beliau memaklumkan kerajaan negeri kini mempunyai jongkong emas bernilai antara RM50 juta hingga RM51 juta mengikut nilai semasa.
Katanya, semua jongkong emas itu adalah milik penuh kerajaan negeri Kelantan dan direkodkan dalam penyata kewangan tahunan mengikut kaedah belanjawan berasaskan tunai selaras Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.
“Emas itu diiktiraf sebagai hasil apabila dijual dan diakaunkan dalam Akaun Hasil Disatukan pada tahun kewangan berkenaan,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, Perbendaharaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk menjadikan jongkong emas berkenaan sebagai sandaran bagi pinjaman kewangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dalam masa sama, Dr Mohamed Fadzli menegaskan kerajaan negeri tidak pernah memperlekeh negeri lain dalam pengurusan hasil emas, sebaliknya model Kelantan menunjukkan keutamaan terhadap kebajikan rakyat dan pelombong tempatan.
Menurutnya, kadar hasil negeri daripada perlombongan emas di Kelantan ditetapkan 10 peratus kepada kerajaan negeri dan empat peratus bayaran sumbangan kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, berbanding hanya lima hingga tujuh peratus di beberapa negeri lain.
“Ini menunjukkan bagaimana kerajaan negeri mengurus hasil emas dengan lebih baik untuk kebajikan rakyat,” katanya.