BAYAN LEPAS – Kerja baik pulih lubang benam di Jalan Kenari, Sungai Ara yang dijalankan oleh Indah Water Konsortium (IWK) dijangka siap sepenuhnya pada 18 November ini.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja pengorekan dan perlindungan tanah (soil protection) sedang dijalankan bagi membaiki kawasan terjejas susulan insiden lubang benam yang berlaku baru-baru ini.
“Kerja pengorekan melibatkan kedalaman sehingga lapan meter dan setakat ini, kerja telah mencapai enam meter,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, IWK turut menutup operasi saluran paip kumbahan di laluan tersebut dan melencongkan alirannya ke paip berhampiran bagi memastikan kelancaran sistem kumbahan di kawasan berkenaan.
"Pihak IWK telah memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya untuk melanjutkan tempoh penutupan jalan sehingga 18 November berikutan keadaan cuaca tidak menentu yang menyebabkan kelewatan kerja di tapak.
“Orang ramai terutama pengguna jalan raya dan penduduk setempat dinasihatkan supaya bersabar dan berhati-hati sepanjang tempoh kerja baik pulih dijalankan,” katanya.
Pada Selasa lalu, satu kejadian lubang benam dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.40 petang melibatkan lubang bersaiz kira-kira 5 meter panjang, 3.5 meter lebar dan 1.9 meter dalam.
Kerja pembaikan segera telah dimulakan bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada orang awam serta kerosakan lebih serius pada struktur jalan.
Menurut Zairil, faktor cuaca tidak menentu menyebabkan kerja baik pulih sedikit lewat disiapkan dan permohonan telah dibuat kepada JKR Barat Daya untuk melanjutkan tempoh penutupan jalan sehingga tarikh berkenaan.