PADANG BESAR - Polis membongkar satu plot kehilangan sebuah Toyota Vellfire yang dipercayai dirancang sebelum kenderaan berkenaan dileraikan dan komponennya dijual bagi mendapatkan keuntungan.
Dalam operasi kira-kira jam 5.15 petang pada Khamis, empat lelaki warga tempatan berusia antara 32 hingga 45 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di daerah Padang Besar dan Arau.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat risikan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek utama berusia 42 tahun yang merupakan seorang penjawat awam di Perlis membuat laporan polis pada 17 Julai lalu dengan mendakwa Toyota Vellfire berwarna hitam milik isterinya hilang.
“Pada 16 Julai 2026, suspek utama menghadiri satu kursus di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan berkenaan.
“Pada kira-kira jam 8 pagi 17 Julai, dia membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaan tersebut di Sungai Besi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Shokri berkata, hasil siasatan lanjut mendapati laporan kehilangan itu mempunyai kaitan dengan satu perancangan yang dibuat suspek utama bersama saudara kandungnya yang berusia 45 tahun.
Katanya, perancangan berkenaan dipercayai dibuat susulan masalah kewangan yang dihadapi suspek utama dan bertujuan membolehkan tuntutan insurans dibuat terhadap kenderaan berkenaan.
“Kenderaan tersebut kemudiannya dibawa ke sebuah bengkel di Kaki Bukit, Padang Besar untuk dileraikan.
“Komponen kenderaan yang masih mempunyai nilai pasaran pula dikumpulkan untuk dijual,” ujarnya.
Beliau berkata, dua lagi individu masing-masing berusia 32 tahun turut dipercayai membantu dalam perancangan berkenaan.
Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan telah dibawa ke IPD Cheras, Selangor untuk tujuan prosiding reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagiannya.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya lagi.
Mohd Shokri berkata, polis memandang serius sebarang cubaan menyalahgunakan laporan polis bagi mendapatkan keuntungan atau kepentingan peribadi.
Jelasnya, tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan proses siasatan dan membazirkan sumber penguatkuasaan, malah boleh menyebabkan individu yang terlibat dikenakan tindakan undang-undang.