GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi tahun 2026, sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat terhadap tanggungjawab agama dan sosial kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, pembayaran tersebut merupakan kali kedua dilaksanakan syarikat selepas pertama kali menunaikan zakat perniagaan pada tahun 2025.
Menurutnya, PBAPP berharap tanggungjawab berkenaan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai usaha menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat Islam di negeri ini.
“Bagi saya secara peribadi, majlis ini bukan sekadar simbolik penyerahan sumbangan tetapi melambangkan nilai tanggungjawab, keprihatinan dan kebersamaan yang amat penting dalam membangunkan sebuah masyarakat yang sejahtera.
“Penyerahan zakat ini selaras dengan komitmen syarikat untuk mengintegrasikan nilai etika, integriti dan keprihatinan sosial dalam melaksanakan operasi kami,” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan PBAPP kepada MAINPP di Bayan Lepas pada Jumaat.
Pathmanathan berkata, sebagai syarikat yang mengendalikan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang, keutamaan PBAPP bukan semata-mata keuntungan kewangan sebaliknya turut memberi penekanan terhadap kelestarian bekalan air dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau berkata, pada 2025, PBAPP turut membuat permohonan wakalah berjumlah RM50,000 yang diluluskan Zakat MAINPP sebelum disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Maung melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
“Jelas di sini, menerusi zakat, ia akan kemudiannya disalurkan kepada golongan asnaf yang layak seterusnya dapat meringankan beban keluarga dan insan yang memerlukan.
“Kami percaya, dengan menunaikan zakat perniagaan secara konsisten, kami bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, komitmen PBAPP menunaikan zakat membuktikan tanggungjawab sesebuah organisasi bukan hanya berkaitan pencapaian dan prestasi korporat malah merangkumi tanggungjawab agama serta sosial.
Beliau berkata, zakat merupakan antara instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam kerana dana yang dikumpulkan boleh dimanfaatkan bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan asnaf.
“Zakat mempunyai keupayaan untuk membangunkan manusia, meningkatkan taraf hidup keluarga, memperluas akses kepada pendidikan, menyokong keperluan kesihatan serta membuka peluang ekonomi kepada golongan asnaf.
“Kita mahu asnaf yang menerima bantuan bukan selama-lamanya berada dalam keadaan sama tetapi diberikan ruang, peluang serta sokongan untuk meningkatkan keupayaan diri dan keluarga,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan rekod sehingga Ogos 2026, sebanyak 823 syarikat telah menunaikan zakat perniagaan dengan jumlah kutipan RM18.66 juta, meningkat 29 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, secara keseluruhan kutipan zakat sehingga tempoh berkenaan mencecah RM119.62 juta manakala sebanyak RM182.62 juta telah diagihkan menerusi pelbagai program yang memanfaatkan lebih 29,791 asnaf di seluruh Pulau Pinang.
“Angka-angka ini memperlihatkan betapa besarnya amanah yang dipikul MAINPP dalam memastikan setiap ringgit zakat yang diterima dapat diurus dan diagihkan secara berkesan kepada mereka yang berhak.
“Pada masa sama, ia juga menunjukkan masih terdapat ruang yang besar untuk kita memperluaskan potensi kutipan zakat khususnya melalui sektor perniagaan dan korporat,” katanya.
Beliau turut memint lebih banyak syarikat dan entiti perniagaan yang memenuhi syarat supaya tampil menunaikan kewajipan zakat perniagaan melalui institusi yang dipertanggungjawabkan.
Ends.