KAJANG - Lelaki etnik Rohingya yang digajikan sebagai pemandu lori sampah biar pun tiada memiliki lesen memandu ditahan di Plaza Tol Sungai Balak di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pemandu berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 10.05 pagi semasa penugasan pihaknya dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan.
"Kesalahan yang dikesan ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) selain kesalahan teknikal pada kenderaan.
"Lori sampah itu telah disita di Stesen Penguat kuasa Semenyih untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, semasa ditahan, pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) terbabit sedang bekerja dan dalam perjalanan dari Sungai Chua ke Ampang.
Tambahnya, JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan serta memastikan kenderaan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
"Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.
Jumaat lalu, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dalam sidang akhbar dilaporkan berkata, pihaknya telah menyita 25 lori sampah sebuah syarikat dalam tempoh dua minggu menerusi operasi penguatkuasaan terhadap lori yang dipandu warga asing di Selangor.
Berikutan itu, JPJ akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (JIM) bagi melaksanakan tindakan bersepadu terhadap pengusaha lori yang menggaji warga asing tanpa lesen memandu sah.