837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara berkait penipuan dalam talian

Iklan
Mohamad Hasan ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Seramai 837 rakyat Malaysia telah ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan berkaitan penipuan dalam talian setakat 8 November tahun ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, angka berkenaan hanya merangkumi kes penipuan dalam talian dan tidak termasuk kesalahan lain yang turut melibatkan ribuan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara.

Iklan
Iklan

“Daripada jumlah itu, 765 individu adalah kaum Cina, 34 Melayu, 33 India dan lima daripada kaum etnik lain.

“Negara yang mencatatkan jumlah tahanan tertinggi ialah China, membabitkan seramai 545 rakyat Malaysia, diikuti Singapura (162 orang), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Shu Qi (PH–Kluang) berhubung bilangan warganegara Malaysia yang sedang ditahan atau telah dijatuhi hukuman di luar negara sehingga kini melibatkan kes penipuan dalam talian, dengan pecahan mengikut kaum, jantina dan negara tempat mereka berada.

Mohamad memaklumkan, di negara China sahaja, tahanan rakyat Malaysia merangkumi 505 lelaki dan 40 wanita, diikuti Singapura (148 lelaki dan 14 wanita), serta Jepun (30 lelaki dan empat wanita).

Iklan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat negara ini supaya sentiasa berwaspada dan memahami undang-undang negara yang dilawati.

“Seboleh mungkin, kita mahu rakyat Malaysia menjadi pelancong yang cemerlang,” katanya lagi.

Sebagai respons kepada soalan tambahan Shu Qi yang mencadangkan agar pelancong ke luar negara diberi nasihat akhir di lapangan terbang bagi mengelakkan rakyat terus menjadi mangsa, Mohamad berkata ia merupakan cadangan yang baik dan akan dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Boleh kita panjangkan kepada MOT supaya syarikat penerbangan atau lapangan terbang membuat pengumuman rakaman, mengingatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati supaya tidak dijadikan keldai dadah atau terperangkap dalam kegiatan jenayah,” tegasnya.