SHAH ALAM - Dakwaan bahawa Malaysia bertindak sebagai ‘musuh dalam selimut’ dalam konflik antara Thailand dan Kemboja tidak akan menjejaskan kedudukan dan kredibiliti negara ini dalam diplomasi pertahanan serantau.
Penganalisis Keselamatan, Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong percaya, kenyataan dibuat bekas pegawai tentera Thailand, Mejar Jeneral (Bersara) Rangsi Kitiyansap itu tidak memberi kesan besar terhadap imej Malaysia.
Beliau sebaliknya melihat ia akan membuka ruang Malaysia memberi penegasan, profesionalisme dan kematangan diplomasi pertahanan yang selama ini menjadi kelebihan strategik negara.
“Kerosakan persepsi tidak menjadi satu kemelut besar yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti negara kerana kita bertindak dalam lingkungan norma dan kerangka ASEAN. Pendirian Malaysia yang tidak berpihak atau campur tangan dalam hal ehwal dalaman pelaku ASEAN lain kekal jelas.
“Seperti ditegaskan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, penafian segera di peringkat tertinggi mengenai tuduhan tersebut berjaya mengurangkan risiko reputasi dan menegaskan mandat peranan Malaysia dalam usaha keamanan rantau ini.
“Tindakan pantas ini memperkukuh naratif bahawa Malaysia tidak mudah diganggu oleh retorik individu, malah mempamerkan keyakinan institusi dan integriti proses diplomatik serta ketenteraan kita,” katanya.
Rangsi sebelum ini mendakwa Malaysia mengatur dan mempengaruhi proses keamanan dan perjanjian damai Thailand-Kemboja dari belakang tabir hingga digambarkan sebagai ‘musuh dalam selimut’.
Video kenyataannya tular dan dia menuduh Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai tangan ghaib menentukan hala tuju dan pelaksanaan rundingan damai.
Mengulas lanjut, Collins melihat tuduhan yang dibuat itu lebih kepada pandangan individu dan bukannya pendirian rasmi kerajaan Thailand.
Ditanya sama ada tuduhan itu boleh menjejaskan kepercayaan negara-negara jiran terhadap Malaysia, beliau menegaskan risiko trust deficit serantau amat rendah selagi Malaysia kekal telus dan beroperasi dalam kerangka mandat serta terma rujukan ASEAN dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
“Malaysia baru-baru ini mempengerusikan rundingan yang berjaya memeterai gencatan dan penempatan pemerhati. Rekod prestasi ini membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai pemudah cara yang dipercayai.
“Ia secara tidak langsung menonjolkan kekuatan Malaysia sebagai fasilitator yang neutral dan berprinsip berdasarkan legasi sejarah serta rekod baik dalam misi keamanan antarabangsa,” ujar beliau.