SHAH ALAM – Jemaah Malaysia yang selamat dibawa pulang ke tanah air untuk menerima rawatan lanjut akibat penyakit pneumonia, Asmah Mansor, 71, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang pada Isnin.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran Facebook bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang berkongsi rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah.
Mohd Na’im berkata, pemergian Allahyarhamah berlaku selepas segala ikhtiar perubatan terbaik diberikan oleh pasukan perubatan dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.
“Walaupun diuji dengan kesakitan yang berat, perjalanan terakhir Hajah Asmah pulang ke tanah air telah berlangsung dengan solidariti seluruh rakyat Malaysia.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran atas kehilangan yang amat besar ini,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini, Mohd Na’im memaklumkan masih terdapat baki RM355,635.72 yang diperlukan bagi menjayakan misi membawa pulang Allahyarhamah yang ketika itu sedang menerima rawatan di Hospital Saudi German, Makkah, akibat menghidap pneumonia.
Menurutnya, kos berkenaan adalah sebahagian daripada sasaran keseluruhan sebanyak RM500,000 yang diperlukan bagi membawa pulang Asmah ke tanah air.
Pada 24 November tahun lalu, media melaporkan misi membawa pulang jemaah terakhir Malaysia bagi musim haji tahun itu akhirnya berjaya disempurnakan selepas sumbangan diterima menerusi Tabung Musa‘adah JAKIM–Yayasan Waqaf Malaysia mencukupi bagi membiayai kos berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu serta menyokong misi membawa pulang Allahyarhamah ke tanah air.
Katanya, usaha berkenaan bukan sekadar misi membawa pulang seorang jemaah haji, sebaliknya satu ikhtiar untuk menyatukan semula sebuah keluarga yang telah terpisah.
“Terima kasih sekali lagi kepada rakyat Malaysia yang membantu saya dalam misi membawa pulang Allahyarhamah Hajah Asmah.
“Saya yakin inilah kekuatan negara kita. Moga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya,” ujar Mohd Na’im.