Tetak abang ipar hingga putus kepala, lelaki berdepan hukuman gantung

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra untuk pertuduhan.

JITRA - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh abang iparnya, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Awang, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Nasir Md Nayan, 45, di kawasan bendang Kampung Pida 3, Tunjang, di sini kira-kira jam 6.30 petang hingga 7 petang, 31 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Iklan

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dengan kepala terputus dalam kawasan sawah padi berhampiran rumahnya.

Dalam kejadian itu, kepala mangsa ditemui terpisah dari badan pada jarak kira-kira satu meter.

Suspek kemudian ditahan polis di dalam rumah selepas dipujuk selama kira-kira 15 minit dalam keadaan masih memegang parang.

Hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah, namun keluarga memaklumkan lelaki terbabit mengalami gangguan perasaan.