Isu WCE Kampung Jawa: Kerja perobohan ditangguh dua minggu lagi

Iklan
Gunaraj berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi ruang kepada penduduk terlibat untuk berpindah ke penempatan baharu di bawah program perumahan SmartSewa

SHAH ALAM – Kerja-kerja perobohan rumah di Lot 11113, Kampung Jawa bagi memberi laluan kepada pembinaan Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang sepatutnya dijalankan pada Selasa ditangguhkan selama dua minggu lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi ruang kepada penduduk terlibat untuk berpindah ke penempatan baharu di bawah program perumahan SmartSewa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, keputusan itu dicapai selepas beliau berhubung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang bersetuju menangguhkan kerja-kerja perobohan tersebut.

“Pada awalnya, penduduk memohon penangguhan selama sebulan bagi memberi masa yang mencukupi untuk berpindah. Namun, selepas perbincangan dan mengambil kira beberapa kekangan, Menteri Besar bersetuju menangguhkan selama dua minggu lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Gunaraj memaklumkan bahawa beliau kini sedang menunggu surat rasmi penangguhan daripada Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Surat penangguhan ini akan diserahkan kepada penduduk terlibat sebagai pengesahan rasmi penangguhan perobohan kediaman,” ujarnya.

Iklan

Tambahnya, keputusan itu memberi kelegaan kepada penduduk, termasuk warga emas yang kini sedang menunggu proses penempatan di kediaman baharu melalui program SmartSewa anjuran kerajaan negeri.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Besar atas keprihatinan serta pertimbangan terhadap kebajikan penduduk yang terkesan, selain usaha kerajaan negeri menyediakan kediaman selesa untuk golongan memerlukan,” katanya lagi.

Sinar Harian pada 3 November lalu melaporkan bahawa Kerajaan Selangor menetapkan tempoh terakhir kepada 19 pemilik tanah di Kampung Jawa yang masih enggan mengosongkan kawasan pembinaan projek WCE.

Borhan berkata, mesyuarat telah mencapai keputusan untuk memberikan peluang terakhir kepada pemilik terbabit sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Proses pengambilan tanah tersebut dijalankan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dengan Borang K dikeluarkan pada tahun 2023, manakala 75 peratus daripada pampasan berjumlah RM9.85 juta telah dibayar kepada pemilik terlibat.