ALOR SETAR – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha menaik taraf aset dan fasiliti Rejimen Askar Wataniah adalah sebagai langkah strategik penting dalam memperkukuh keupayaan operasi serta kesiapsiagaan pasukan simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, berkata inisiatif berkenaan merangkumi penambahbaikan fasiliti, peralatan dan penerapan teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan latihan dan operasi pasukan.
“Penaiktarafan ini amat penting untuk memastikan Askar Wataniah sentiasa bersedia menyokong TDM dalam sebarang mobilisasi, sekali gus memperkukuh imej pasukan ini sebagai angkatan simpanan yang profesional, berdaya saing dan relevan dalam landskap pertahanan negara masa kini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam Rejimental PALAPES Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli serta Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menjelaskan, sebagai pasukan simpanan TDM, Askar Wataniah sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan bagi menyokong operasi ketenteraan dalam pelbagai situasi, sama ada darurat, peperangan atau operasi keselamatan moden yang semakin kompleks.
“Peranan ini melangkaui fungsi sebagai pasukan sokongan sahaja. Askar Wataniah turut menyumbang kepakaran dalam bidang risikan, logistik dan pertahanan di peringkat tempatan, menjadikannya komponen penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara,” titah baginda.
Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP turut menekankan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong pembangunan kepakaran yang relevan dengan keperluan pertahanan negara.
Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP kini diberi kepercayaan meneroka bidang aeronautik, sekali gus memperluas kepakaran yang dapat menyokong operasi tentera.
“Penglibatan ini mencerminkan kesepaduan antara komponen pertahanan dan sektor awam dalam menjayakan konsep pertahanan menyeluruh negara,” tambah baginda.
Sempena majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan pesanan kepada pegawai muda agar terus aktif dalam Rejimen Askar Wataniah di kawasan masing-masing selepas ditauliahkan.
Penglibatan berterusan amat penting bagi memastikan kesinambungan disiplin, semangat patriotisme dan komitmen terhadap pertahanan negara.
“Selain memperkukuh jati diri dan nilai kepimpinan yang diasah semasa latihan, penglibatan ini juga meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara serta memperkasa integrasi keselamatan secara holistik.
"Selaras dengan konsep ‘Whole-of-Government, Whole-of-Society’, penyertaan semua lapisan masyarakat dan agensi kerajaan amat diperlukan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negara sentiasa tinggi,” titah baginda lagi.