Budak empat tahun diculik dijual hingga RM22,000

Iklan
Bilqis berjaya diselamatkan selepas menjadi mangsa culik satu sindiket di Makassar.

MAKASSAR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Bilqis Ramdhani yang sebelum ini dilaporkan hilang di Makassar, akhirnya berjaya diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa penculikan untuk dijual ke luar wilayah pada harga mencecah 80 juta rupiah (RM22,000).

Mangsa dikembalikan kepada keluarganya pada Ahad (9 November) selepas operasi besar-besaran dijalankan pasukan polis dari dua wilayah berbeza.

Iklan
Iklan

Siasatan awal mendapati, Bilqis diculik untuk dijual antara daerah.

Di Makassar, harga jualnya hanya 3 juta rupiah (RM750) , namun ketika tiba di Jambi, nilainya meningkat berkali ganda sehingga puluhan juta rupiah.

Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Satreskrim) Polrestabes Makassar memaklumkan, kejayaan menumpaskan kegiatan itu hasil kerjasama antara unit Resmob Polda Jambi, Satreskrim Polres Kerinci dan Polrestabes Makassar.

Dua suspek utama yang dikenal pasti sebagai Adefrianto Syahputra S,36 dan Mery Ana,42 , kedua-duanya berasal dari Kabupaten Merangin, Jambi berjaya diberkas pada Jumaat (7 November ) di sebuah rumah penginapan berhampiran Masjid Raya, Kelurahan Pasar Sungai Penuh, Jambi.

Iklan

Menurut polis, pasangan tersebut ditahan tanpa tentangan ketika pasukan keselamatan menyerbu lokasi persembunyian mereka.

“Kami hanya memberikan sokongan kepada rakan-rakan dari Polrestabes Makassar. Setelah menerima maklumat bahawa suspek berada di kawasan kami, pasukan segera bertindak bagi memastikan mereka tidak sempat melarikan diri,” kata seorang pegawai kanan Polres Kerinci.

Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku telah menjual Bilqis kepada kumpulan Suku Anak Dalam di Desa Mentawak, Kabupaten Merangin pada harga 80 juta rupiah.

Bertindak atas maklumat itu, pasukan gabungan polis bergegas ke lokasi dan berjaya menemukan Bilqis dalam keadaan selamat. Mangsa kemudian dibawa ke Polres Merangin untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diberikan sokongan psikologi.

Pihak Polrestabes Makassar mengesahkan semua suspek akan dibawa pulang ke Makassar bagi menjalani proses siasatan dan tindakan undang-undang lanjut.

Kes penculikan ini mencetuskan kemarahan serta kebimbangan masyarakat kerana dipercayai melibatkan jaringan sindiket perdagangan kanak-kanak antara provinsi.

Polis kini sedang memperluas siasatan bagi mengenal pasti pihak lain yang terlibat dalam kegiatan tidak berperikemanusiaan itu.- KOMPAS.com