PERMAINAN dalam talian seperti Roblox atau sebelumnya fenomena Pokemon Go muncul sebagai hiburan comel yang mudah diakses, menyeronokkan dan mampu mengisi masa lapang.
Bagaimanapun di sebalik hiburan digital terbabit, tersimpan bahaya yang mungkin diabaikan, dipandang ringan ataupun tidak disedari ramai.
Apa yang dianggap sekadar permainan boleh bertukar tragedi jika tidak dikawal dengan bijak.
Fenomena ketagihan permainan bukan perkara baharu memandangkan dua lelaki di Sungai Petani, Kedah dilaporkan dilanggar kereta ketika leka dan asyik bermain Pokemon Go di tepi jalan pada 2016.
Bagaimanapun, kes kelar di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, Johor baru-baru ini akibat permainan Roblox dianggap lebih membimbangkan, kerana bukan sekadar kecuaian seperti kes Pokemon Go sebelum ini, tetapi sudah melangkaui sempadan menjadi jenayah yang hampir meragut nyawa.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilaporkan mencederakan adiknya selepas kehilangan mata terkumpul permainan tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian miliknya terganggu sehingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan.
Menurut Ab Rahaman, kanak-kanak itu dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan itu dan seolah-olah diarahkan mencederakan ahli keluarganya, sebelum bertindak menyerang adiknya menggunakan pisau.
Tragedi itu membuktikan hiburan maya bukan sekadar mainan, tetapi boleh mengganggu emosi dan kawalan diri jika tidak dipantau.
Permainan digital dicipta dengan sistem ganjaran, markah dan kedudukan yang membuatkan pemain ketagih untuk terus bermain.
Apabila markah hilang atau gagal mencapai sasaran, tekanan dan emosi mudah terganggu.
Tidak dinafikan, Roblox juga digunakan untuk tujuan positif seperti kempen kesedaran atau solidariti terhadap rakyat Palestin.
Bagaimanapun, tanpa kawalan masa dan bimbingan, permainan sebegitu boleh menjerat pemain khususnya kanak-kanak ke dunia maya hingga mengabaikan realiti.
Selain itu, kurangnya kawalan ibu bapa dan kesedaran keselamatan juga berisiko menyumbang kepada masalah tersebut.
Ada segelintir ibu bapa yang membiarkan anak bermain tanpa had masa atau pemantauan.
Akibatnya, anak-anak menjadi leka, kurang berinteraksi dengan dunia sebenar dan mudah terpengaruh dengan kandungan yang tidak sesuai.
Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam membimbing anak supaya tidak terlalu bergantung kepada skrin.
Langkah terbaik ialah meluangkan masa bersama anak dalam aktiviti fizikal yang menyeronokkan seperti berbasikal, bersukan atau bermain di taman permainan.
Aktiviti sebegini bukan sahaja mengurangkan masa skrin, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membina gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga disaran menetapkan had masa penggunaan gajet dan memantau jenis permainan yang dimuat turun anak-anak.
Pemantauan sederhana tetapi konsisten dapat membantu mengelak risiko ketagihan dan tingkah laku agresif.
Kehadiran ibu bapa bukan sekadar mengawal, tetapi memberi rasa dihargai dan diperhatikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan anak terhadap permainan digital.
Pengguna sendiri harus sedar bahawa hiburan tidak salah, tetapi jangan sampai lalai dengan dunia tersebut, sekali gus perlu menggunakan masa bermain dengan bijak.
Antara lain, kerajaan wajar mengambil tindakan tegas dengan memperkenalkan garis panduan dan pemantauan lebih ketat terhadap permainan dalam talian yang berisiko tinggi dan sebagainya.
Bagaimanapun, tanggungjawab itu tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja dan memerlukan kerjasama semua, barulah tragedi seumpama itu dapat dielakkan daripada berulang.
Justeru, belum terlambat untuk kita membuat perubahan.
Bermula dengan langkah kecil seperti memahami, mengawal dan membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara sihat, maka kita mampu mengelak lebih banyak tragedi.
Dunia maya mungkin menyeronokkan, tetapi dunia nyata lebih berharga jika kita bijak menyeimbangkannya.
* Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian