Rombak Kabinet bukan sekadar penuhi status quo

Iklan
Khabar angin mengenai rombakan Kabinet ini semakin kuat bertiup kencang.

KHABAR angin mengenai rombakan Kabinet ini semakin kuat bertiup kencang. Masakan tidak, PMX kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pun secara berseloroh minta media beri ilham.

Dengan Datuk Ewon Benedick sendiri pun sudah letak jawatan ditambah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir beri bayangan tidak lagi pegang portfolio kementerian.

Iklan
Iklan

Tambah pula tempoh lantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Ahli Dewan Negara hampir tamat.

Belum campur dua lagi kementerian tidak berpenghuni setelah bekas penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad letak jawatan selepas kalah pemilihan PKR.

Iklan

Pendek kata, Kabinet sekarang macam kondisi rumah di kampung sewaktu hari raya. Macam banyak bilik kosong, tetapi belum tentu ada penghuni yang balik untuk mendudukinya.

Rakyat pun menunggu. Bukan menunggu siapa masuk, tetapi menunggu untuk lihat apa yang boleh diperbaiki.

Iklan

Sebab terus terang, ada beberapa menteri kerjanya macam lampu isyarat rosak. Ada, tapi tak membantu aliran. Ada pula yang hanya muncul bila depan kamera. Ada pula yang siap ugut media.

Kita juga dengar nama besar disebut-sebut termasuk Khairy Jamaluddin. Apa yang pasti, Kabinet bukan gelanggang reunion. Kalau masuk biarlah kerana kemampuan. Bukan sekadar menambah karisma latar belakang selfie atau penuhi status quo rakan-rakan koalisi kerajaan semasa sidang media.

Rombakan ini kalau jadi, harus lebih daripada sekadar mengisi kekosongan. Kita perlukan menteri yang faham kerja dan tahu apa yang rakyat tanggung.

Yang boleh jawab soalan berpandukan isu sebenar. Yang berupaya mencari penyelesaian tuntas tanpa retorik.

Rakyat hanya mahukan kerajaan yang berfungsi. Itu saja. Tidak lebih, tidak kurang. Kalau rombakan ini hanya ulangan babak kelemahan sama, baik jangan rombak. Jangan sekadar korum menteri semakin bertambah, hasil tak kelihatan.